Disebabkan pendatang asing dan pelarian bimbang tentang kesan sampingan suntikan Covid-19 dan hilang kepercayaan kepada kerajaan, perjalanan program imuninasi kebangsaan mungkin terganggu, ketika pihak berkuasa berusaha mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin, berulang kali memberi jaminan bpendatang asing, sama ada yang memiliki dokumen sah atau tidak turut akan disenaraikan dalam program vaksinasi itu setelah ia meragut lebih 1,300 nyawa.
Beliau juga memberi jaminan mereka yang tampil untuk mendapatkan vaksin tidak akan ditahan atau dilaporkan.
Bagaimanapun, tidak semua pendatang asing yakin.
Beberapa orang yang ditemui memberitahu MalaysiaNow bahawa mereka bimbang dengan keselamatan vaksin yang dihasilkan bagi memerangi lonjakan jangkitan di seluruh dunia ketika ini.
“Saya tidak akan ambil vaksin buat masa ini, walaupun kerajaan Malaysia tawarkan secara percuma,” kata seorang pekerja Pakistan sambil memetik laporan mengenai kesan sampingan dan kematian berkaitan vaksin tersebut di seluruh dunia.
“Saya tidak yakin dengannya.”
Bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan, lelaki yang bekerja di kedai jahit itu mencadangkan agar suntikan vaksin itu diberikan kepada ahli perniagaan dan individu berprofil tinggi terlebih dahulu sebelum ia diberikan kepada orang lain.
“Sekiranya ia selamat dan mereka tidak mengalami kesan sampingan atau mati, maka barulah pertimbangkan untuk ia diberikan kepada warga kelas bawahan dan pendatang,” katanya.
Dia berkata pendatang asing dan mereka yang dikategorikan golongan berpendapatan rendah berjuang habis-habisan untuk mengatasi kesan pandemik, dan tidak boleh diberi vaksin jika keberkesanannya masih diuji.
Seorang pekerja asing warga Indonesia berkata akan mempertimbangkan untuk mendapatkan suntikan vaksin jika ia terbukti selamat dan tidak mempunyai kesan sampingan yang serius.
“Saya tidak keberatan dapatkan vaksin walaupun saya perlu bayar,” katanya.
Baginya, keselamatan adalah kebimbangan terbesar setakat ini. Sekiranya disuntik vaksin dijalankan bagi langkah mengurangkan kesan wabak itu, dia akan melakukannya.
“Jika tidak, sukar untuk bendung virus ini,” katanya.
Beberapa individu lain yang ditemui MalaysiaNow enggan dan tidak mahu menyuarakan pendapat mereka berkenaan isu tersebut.
Aktivis hak pendatang asing Adrian Pereira berkata kebimbangan tersebut adalah berpunca daripada serbuan-serbuan dan penahanan yang berlaku tahun lalu selepas pihak berkuasa menahan pendatang asing tanpa dokumen ketika lonjakan kes Covid-19 tahun lalu.
Media melaporkan dalam serbuan di pasar borong Selayang pada Mei tahun lalu, 1,368 pendatang asing ditahan termasuk 98 orang kanak-kanak.
Serbuan itu tetap dijalankan walaupun terdapat jaminan dari Putrajaya pelarian dan pendatang tidak perlu bimbang mengenai status mereka untuk hadir sesi pengesanan dan ujian Covid-19.
Pereira berkata peristiwa itu mengubah pandangan pendatang asing ketika berinteraksi dengan penduduk tempatan.
“Selepas serbuan dan apa yang berlaku tahun lalu, defisit keyakinan sangat besar,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Ramai pendatang tidak mahu bersuara.”
Setakat ini, katanya, hanya pemimpin komuniti itu yang bersedia memberi komen mengenai isu vaksin.
Pereira, yang mengetuai Inisiatif Utara Selatan, berkata NGO beliau masih menunggu arahan daripada kerajaan mengenai proses vaksinasi pendatang asing, pelarian dan yang tidak memiliki kewarganegaraan.
Bercakap tentang kurangnya ketelusan dalam kerajaan, beliau berkata kumpulan pendatang asing bimbang tentang bagaimana dan di mana mereka akan divaksin selain apakah maklumat peribadi mereka akan disimpan dengan selamat.
“Saya mahu optimis yang pemimpin kita tahu apa yang mereka lakukan, namun mereka perlu tunjukkan dan uji idea mereka di khalayak ramai.
“Kami masih menunggu kerajaan umumkan rancangan mengenainya,” katanya.
Pada 17 Februari lalu, Khairy berkata pekerja asing yang tidak memiliki dokumen harus pergi ke kedutaan masing-masing bagi menerima vaksin Covid-19.
Beliau menambah penyusunan akan dibuat untuk pekerja asing yang memiliki dokumen untuk menerima vaksin Covid-19 dengan cara yang efisien.
“Sementara itu, mereka yang tidak memiliki dokumentasi harus pergi ke kedutaan mereka dan diberi vaksin tanpa ditahan,” katanya dan menambah kementeriannya masih membincangkan butiran rancangan tersebut.