Ibu bapa pelajar di Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas (CBN) berkata mereka berpuas hati dengan operasi sekolah yang dijalankan ketika ini walaupun isu berhubung pajakan tanah sekolah itu hangat diperkatakan selain CBN mungkin diserahkan kepada pihak berkuasa bagi menerima bantuan kerajaan sepenuhnya.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah (PIBG) CBN memberitahu MalaysiaNow bahawa mereka mahu status quo dikekalkan dan operasinya dijalankan seperti sebelum ini.
“Mereka sudah bertanya apakah standard tinggi CBN dapat dipertahankan jika ia menjadi sekolah kerajaan yang dibiayai sepenuhnya,” kata pengerusinya Alice Suriati.
Beliau turut menambah bahawa CBN “sudah berada di tahap tertinggi” dari segi kegiatan akademik dan kokurikulum, dan ibu bapa ketika ini tidak ada perkara yang perlu dirisaukan.
“Kami hantar anak-anak kami ke sana kerana kami mahukan yang terbaik.”
Berita bahawa pajakan tanah CBN tidak akan diperbaharui menyebabkan kebimbangan ramai pihak jika sekiranya sekolah yang didirikan pada tahun 1899 akan dirobohkan.
Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Muhammad Yasir Yahya kemudian menjamin bahawa bangunan sekolah tersebut tidak akan dimusnahkan di samping turut menambah bahawa tanah tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan sekolah itu menerima bantuan penuh kerajaan.
Bagaimanapun, Alice berkata PIBG sentiasa membantu alam mencari bantuan dana bagi program-program sekolah lancar dilaksanakan.
“Kami juga ada badan alumni yang turut bantu dari sudut aktiviti-aktiviti mencari dana,” katanya lagi.
Usaha PIBG dan alumni itu, katanya, turut diteruskan sepanjang kemelesetan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dengan penyediaan peranti-peranti untuk pelajar ketika mereka perlu belajar dari rumah selain membantu pelajar mendapatkan data untuk internet, katanya.
Beliau turut berkata setiap keputusan dan inisiatif yang diambil pada masa akan datang mestilah dibuat melalui lembaga pengarah dan entiti korporat yang menjalankan operasi sekolah, iaitu The Lady Superior of the Society of Saint Maur.
CBN adalah antara sekolah terawal yang dibina di Malaysia dan turut diberi gelaran sebagai sekolah kluster oleh kementerian pendidikan.
Pada 2010, sekolah itu menjadi antara sekolah yang mencatat kecemerlangan paling tinggi dalam keputusan SPM.