- Iklan -
Berita

Usaha jadikan CBN tapak warisan dapat bantahan, kata menteri

Penetapan sebagai Convent Bukit Nanas tapak warisan di bawah Akta 645 tidak akan menjejaskan pemilikan, jagaan dan pentadbiran tapak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Nancy Shukri. Gambar: Bernama
Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Nancy Shukri. Gambar: Bernama

Jabatan Warisan Negara telah berusaha untuk mewartakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas (CBN) sebagai tapak warisan sejak 2008 tetapi tidak dapat diteruskan berikutan ada bantahan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

Beliau berkata jabatan itu memulakan proses pengumpulan maklumat dan dokumen berkaitan bagi tujuan pewartaan sekolah tersebut di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada Mei 2008, setelah mengambil kira justifikasi sejarah, seni bina dan signifikan sekolah berkenaan.

Bagaimanapun pada 12 Julai 2010 pihak pemegang amanah sekolah berkenaan telah menghantar notis bantahan kepada pesuruhjaya warisan, dan susulan itu satu sesi pendengaran diadakan pada 8 April 2011 bagi pemegang amanah menjelaskan alasan bantahan mereka.

“Pada 21 Julai 2011, setelah pesuruhjaya warisan memperhalusi dan mempertimbangkannya maka pesuruhjaya warisan memutuskan untuk tidak meneruskan penetapan sekolah tersebut sebagai tapak warisan di bawah Akta 645,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan orang ramai berhubung ketiadaan usaha kerajaan untuk mewartakan SMK Covent Bukit Nanas sebagai tapak warisan di bawah Akta 645, mengambil kira kepentingan sumbangan sekolah itu kepada pendidikan negara sejak 1899.

Mengulas lanjut, Nancy berkata kementeriannya mengalu-alukan pemegang amanah menimbang dan mencalonkan SMK Convent Bukit Nanas untuk diwartakan sebagai tapak warisan bagi tujuan memulihara, memelihara dan melindungi warisannya.

Katanya penetapan sebagai tapak warisan di bawah Akta 645 tidak akan menjejaskan pemilikan, jagaan dan pentadbiran tapak.

“Pewartaan tidak akan mengambil sebarang pemilikan tanah bahkan ia kekal di bawah pemilik rasmi sebagaimana yang tercatat dalam carian rasmi,” katanya.

Nancy juga menyeru semua pihak agar dapat bersama-sama berganding bahu memulihara, memelihara dan melindungi warisan negara, baik yang telah diwartakan mahupun belum diwartakan.

Semalam, kerajaan bersetuju supaya tempoh pegangan pajakan tapak sekolah berkenaan yang akan tamat pada 6 Sept depan dilanjutkan untuk tempoh 60 tahun.

Lembaga Pengelola SMK Convent Bukit Nanas sebelum ini memohon kepada kerajaan agar menimbang penyambungan tempoh pegangan pajakan tanah tapak sekolah itu.