- Iklan -
Berita

Covid-19 dedahkan kelemahan globalisasi, ancam kewujudannya

Pandemik memaksa ekonomi dan industri global untuk memikirkan semula fungsi mereka dan autonomi negara mungkin antara solusinya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
4 minit bacaan
Kongsi
Globalisasi yang terjejas akibat pandemik mengganggu ekonomi Malaysia, namun negara pengeluar produk yang aktif mengaut keuntungan daripadanya. Gambar: Pexels
Globalisasi yang terjejas akibat pandemik mengganggu ekonomi Malaysia, namun negara pengeluar produk yang aktif mengaut keuntungan daripadanya. Gambar: Pexels

Sejak 15 tahun lalu, Faheem Ahmad yang merupakan rakyat Malaysia tinggal di Guangzhou, China.

Dia pergi ke sana untuk belajar Bahasa Mandarin pada 2006.

Faheem sepatutnya pulang ke Malaysia dan berkhidmat untuk mengajar, namun mendapat peluang membuka perniagaan kecil yang menguntungkan dalam dunia perdagangan antarabangsa.

Semasa menamatkan ijazah sarjana, dia memulakan Hijrah Trading, sebuah syarikat yang membekalkan barang-barang China kepada pelanggan Malaysia.

Sambutan terhadap perniagaannya sangat memberangsangkan.

“Kami beri tumpuan kepada perniagaan kecil yang tidak tahu bagaimana cara mengimport barang dari China. Kami ajar kepada mereka cara-cara untuk melakukannya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Biasanya, saya bimbing mereka untuk cari pengeluar atau pembekal barang yang mereka perlukan.”

Aktiviti perniagaannya sebelum pandemik sangat aktif sehingga dia sering pulang ke Malaysia.

Namun, sejak Covid-19 melanda, Faheem terpaksa mengendalikan perniagaannya di Malaysia sejak setahun yang lalu.

Namun ada hikmahnya juga, walaupun dalam keadaan pandemik, tahun lalu perniagaannya menyaksikan keuntungan luar biasa kerana import pelitup muka dan cecair pembasmi kuman dari China meningkat.

Kemajuan perniagaan Faheem daripada daripada seorang pelajar dan kemudian menjadi usahawan antarabangsa adalah gambaran globalisasi: perjalanan dan perdagangan merentas sempadan antarabangsa; jaringan perniagaan global dan rantaian bekalan selain percampuran budaya ketika negara-negara saling berhubung secara ekonomi, digital, dan sosial.

Globalisasi, proses interaksi dan integrasi antara orang ramai, syarikat, dan kerajaan di seluruh dunia tercetus selepas revolusi industri susulan kemajuan teknologi pengangkutan dan komunikasi.

Sejak lebih dari 200 tahun lalu, globalisasi menjadi model dalam sektor pembuatan dan perdagangan dunia.

Namun, pada 2020, Covid-19 melanda dunia.

Bahkan sebelum pandemik itu, globalisasi turut terkesan ketika Donald Trump dilantik menjadi presiden Amerika Syarikat dengan moto kempen pentadbirannya, “Make America Great Again”.

Kehadiran Trump sebetulnya membimbangkan ekonomi dunia.

Bagaimanapun, pandemik lebih banyak mengganggu asas globalisasi daripada perubahan yang berlaku terhadap kuasa-kuasa besar dunia.

Dalam tempoh satu tahun sahaja, kebebasan pergerakan, rantaian bekalan global, dan pasaran yang saling berkaitan terjejas teruk.

Institut IRIS merupakan pusat penyelidikan bebas yang memberi tumpuan kepada konflik dan krisis dalam dunia Islam dan resolusi mengenainya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim memberitahu MalaysiaNow kesan dan trend penurunan yang dihadapi globalisasi secara tiba-tiba hanya bersifat sementara kerana sistem kewangan antarabangsa dibina berdasarkan sistem tersebut.

“Dasar perlindungan yang dilaksanakan kuasa besar adalah untuk menguruskan kerugian sementara yang dialami syarikat-syarikat antarabangsa. Dalam kes ini, negara seperti Malaysia adalah antara yang paling rugi,” katanya.

“Globalisasi selalunya melindungi kepentingan syarikat dan negara-negara kapitalis dan ia tidak menguntungkan negara pengeluar bahan mentah seperti Malaysia.”

Beliau menjelaskan apabila negara pembekal bahan mentah seperti Malaysia kehilangan pasaran, mereka menghadapi masalah kerana tidak memiliki ekosistem ekonomi negara yang kuat.

“Ketika kita kehilangan pasaran, seperti perang dunia pertama ketika penjajah tiba-tiba meninggalkan kita kerana mahu mengekalkan ekonomi mereka sendiri. Pada masa itu, sebahagian besar ekonomi kita adalah jualan getah, namun tiba-tiba kita dah tak boleh menjualnya. Hal yang sama berlaku dengan timah.

“Akibatnya, negara mengalami kerugian besar dan kita terpaksa meminjam untuk menyelamatkan ekonomi.”

Menurutnya, perkara yang sama turut boleh dilihat dalam jualan minyak sawit Malaysia, kerana negara ini masih bergantung kepada pasaran dan pembeli asing.

Katanya, kebergantungan ini boleh dikurangkan dengan mengembangkan industri domestik berasaskan kelapa sawit dengan membesarkan skop penggunaannya.

Beliau turut menggesa pemimpin Malaysia untuk melihat situasi tersebut sebagai peluang bagi melaksanakan perubahan sebenar dalam model pembangunan ekonomi negara.

“Kita perlu cipta pasaran domestik dan serantau yang lebih kuat, dan kurangkan kebergantungan kepada pasaran asing,” katanya.

“Kita juga perlu kurangkan pemilikan asing dan kembangkan teknologi tempatan bagi memenuhi industri nasional yang semakin berkembang.”

Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya University College, See Hoon Peow, pula berkata kemungkinan penjajaran semula negara-negara dunia di masa depan.

“Buat masa sekarang, Malaysia berusaha untuk ambil pendirian yang neutral, dan ia adalah pendirian yang bijaksana bagi sebuah negara kecil,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, Malaysia mesti melabur lebih banyak dalam bidang teknologi agar tidak bergantung dengan negara lain bagi mendapatkan bekalan barangan atau perkhidmatan yang penting.

“Malaysia harus belajar dari pertembungan antara AS dan Huawei. Cip dan sistem operasi adalah komponen penting dalam telefon. Sudah lama AS kawal teknologi tersebut. Huawei buat persediaan lebih dari 10 tahun lalu bagi pertembungan hari ini.

“Negara mesti melabur dalam teknologi utama jika mahu terus makmur. Sebuah negara juga harus bebas dalam mendapatkan keperluan seperti makanan dan sumber tenaga. Kosnya mungkin tinggi tetapi sekurang-kurangnya ia boleh mampankan ekonomi,” katanya.

Kejatuhan globalisasi disebabkan pandemik yang melanda turut menyaksikan kebangkitan “nasionalisme baru”.

See berkata di Malaysia, faktor-faktor dalaman lebih kuat daripada pengaruh antarabangsa.

“Kekuatan konservatif di negara ini berusaha keras untuk atasi pengaruh globalisasi, sehingga kita mendengar lebih banyak suara datang dari golongan ini. Cara orang terima satu-satu perkara itu bergantung kepada banyak faktor.

“Dalam jangka masa yang pendek, saya rasa ketegangan akan lebih kuat, kerana tidak ada pihak yang dijamin selamat. Apabila pemenangnya muncul, keadaan akan jadi makin stabil, dan ketegangan akan reda.

“Ketika orang rasa tidak selamat, mereka cenderung melindungi apa yang mereka anggap sebagai identiti utama mereka dan enggan berubah.”

Faheem, seorang guru yang bertukar menjadi usahawan itu turut bersetuju. Daripada pengalamannya, dia melihat bagaimana China berjaya dan memanfaatkan globalisasi dengan lebih berjaya daripada Malaysia.

“Pengilang Malaysia hadapi banyak rintangan dan banyak kerenah birokrasi ketika mereka mahu mengeksport produk mereka ke China.

“Mahal, terlalu banyak halangan, dan sistem kita beri keuntungan kepada kilang-kilang China lebih banyak daripada perniagaan tempatan kita,” katanya.

“Kita tidak hasilkan produk sebanyak negara-negara lain.”

Pada tahun 2020, Covid-19 mungkin menyekat sistem globalisasi dan menjejaskan banyak negara.

Namun kewujudan orang-orang seperti Faheem, ia akan tetap berjalan.

Kini, banyak negara turut terpaksa mengembangkan ekonomi mereka sendiri yang lebih autonomi.

Bagaimanapun, berapa lama lagikah dunia perlu menunggu ekonomi kembali menjadi global?

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.