- Iklan -
Berita

Junta Myanmar sekali lagi tunda perbicaraan Suu Kyi

Pertuduhan paling berat yang dihadapi Suu Kyi ketika ini adalah berhubung undang-undang kerahsiaan Myanmar yang akan dibacakan di mahkamah 6 Mei depan.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Protes rakyat di Myanmar dibalas pihak junta dengan kekerasan menyaksikan ratusan terkorban di jalan raya. Gambar: AP
Protes rakyat di Myanmar dibalas pihak junta dengan kekerasan menyaksikan ratusan terkorban di jalan raya. Gambar: AP

Junta tentera Myanmar sekali lagi menunda prosiding mahkamah pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi pada Isnin, kata peguam yang kini berusaha mendapatkan kebenaran untuk melawat beliau selepas 12 minggu ditahan.

Negara itu berdepan kekacauan sejak tentera melakukan kudeta terhadap Suu Kyi pada 1 Februari lalu.

Tindakan kudeta menyebabkan tentera kembali memerintah negara itu selepas beberapa tahun Myanmar menikmati demokrasi selepas pembebasan Suu Kyi.

Tindakan tentera itu turut mendapat bantahan rakyat Myanmar dengan siri himpun di jalan raya. Gerakan rakyat bagaimanapun mendapat respons ganas pasukan keselamatan menyebabkan kebangkitan besar rakyat Myanmar.

Dalam pada itu, Suu Kyi dikenakan tahanan rumah selepas junta mengenakan enam pertuduhan ke atas beliau termasuk melakukan hasutan dan tidak memiliki lesen alat perhubungan “walkie talkie”.

Prosiding kes beliau bagaimanapun ditunda sekali lagi sehingga 10 Mei depan, kata peguamnya Min Min Soe pada Isnin selepas pendengaran di mahkamah.

12 minggu sejak Suu Kyi ditahan, Min Min Soe berkata peguam-peguamnya masih tidak mendapat kebenaran untuk bertemu dengan Suu Kyi secara bersemuka selain pelbagai kerenah birokrasi terpaksa dihadapi pihaknya.

“Ketika hakim bertanya kepada polis tahap siasatan ketika ini, mereka tak dapat beri jawapan secara spesifik,” katanya kepada AFP di samping turut menambah Suu Kyi kecewa dengan perjalanan mahkamah yang lembab ketika ini.

“Saya fikir beliau tak diberi akses untuk tengok berita dan televisyen. Saya tak fikir beliau tahu keadaan terkini dalam negara sekarang,” katanya.

Selain tidak boleh berjumpa dengan Suu Kyi, junta turut mengelak dari menyiarkan pendengaran kes pemimpin Myanmar itu melalui sidang video.

Pertuduhan paling berat yang dihadapi Suu Kyi ketika ini adalah berhubung undang-undang kerahsiaan Myanmar yang akan dibaca di mahkamah di Yangon, 6 Mei depan.