- Iklan -
Berita

Kerja sambil belajar boleh undang risiko psikologi, kata pakar

Walaupun ada yang terpaksa melakukannya, namun tekanan bekerja sambil belajar boleh mempengaruhi kesejahteraan fizikal dan mental.

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi

Pada usia 24 tahun, seorang pelajar Adib Abdul Rahman bakal menamatkan ijazah sarjana mudanya akhir tahun ini.

Namun, berbeza daripada teman-teman seangkatannya yang hanya bergelar mahasiswa di universiti, pemuda ini sudah pun bergelar sebagai pekerja.

Sambil belajar, Adib turut bekerja sepenuh masa di sebuah gudang syarikat e-dagang yang terkenal.

Syif kerjanya bermula pada waktu malam dan berakhir pada awal pagi.

Pulang dari tempat kerja, Adib terus bersiap sedia untuk masuk ke kelas dalam talian dan menyiapkan kerja-kerja yang diberikan pensyarah.

“Jika saya tak bekerja, saya tak ada duit.

“Saya perlukan duit untuk beli makanan. Saya tak boleh harapkan orang lain beri saya duit pada usia ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada “usia ini”, Adib sudah pun mengalami keletihan melampau ekoran jadual kerja sambil belajar.

Dia perlu menyeimbangkan dua urusan itu setiap hari, jadual berterusan sedemikian rupa memberi kesan buruk kepada kesihatannya.

“Saya banyak ambil kafein dan nikotin supaya badan saya segar bertenaga, tetapi saya selalu letih dan mengantuk.

“Berat badan saya pun banyak turun, tertidur waktu naik kereta pun biasa,” katanya.

Kadang kala, Adib terpaksa berhenti di lebuh raya untuk tidur.

Ahli psikologi klinikal dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Siti Inarah Hasim, berkata ramai pelajar memilih untuk bekerja sepenuh masa kerana mereka tidak lagi mahu bergantung dengan ibu bapa, terutamanya dalam keadaan ekonomi negara ketika ini.

Beliau memberitahu MalaysiaNow peranan sebagai pelajar dan pekerja menuntut mereka untuk memenuhi kehendak dan keperluan kedua-dua peranan itu sehingga ia akhirnya mempengaruhi psikologi.

“Dengan tambahan waktu kerja dan beban kerja, kesihatan mental dan fizikal hadapi risiko tinggi,” katanya.

Siti turut menjelaskan peningkatan jumlah kes golongan muda yang menghadapi gangguan mental dalam tempoh pandemik.

“Keletihan akibat kerja berlebihan boleh menjadi faktor risiko,” tambahnya.

Menurutnya, masalah lain yang dihadapi ketika ini adalah sikap memandang tinggi budaya bekerja secara berlebihan.

Dalam kalangan orang muda, budaya kerja secara berlebihan dikenali sebagai budaya “hustle”.

Mereka membiasakan diri untuk kerja berlebihan dan mendorong rakan sebaya untuk mengambil dua atau tiga pekerjaan pada masa yang sama bagi menampung kehidupan.

Siti berkata, amalan budaya kerja sedemikian mencapai tahap baru namun pada waktu yang salah, kerana orang ramai harus menjaga kesihatan mental dengan lebih baik sepanjang pandemik.

Menurutnya, walaupun bekerja secara berlebihan tidak dapat dielakkan individu tertentu bagi menampung keperluan hidup mereka, masyarakat tetap perlu dididik mengenai kesan negatif budaya tersebut.

“Orang muda sering memuliakan budaya ini, mereka berkata betapa bagusnya jika mereka miliki kemampuan untuk tidur lewat kerana bekerja, atau berkata mereka kurang tidur kerana bekerja,” katanya.

Namun mereka akan segera mengalami masalah lain termasuk keletihan mental dan fizikal.

Mereka juga berisiko menghidap penyakit jantung serta gangguan mental seperti kegelisahan dan kemurungan, katanya.

Ahli psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Fauziah Mohd Saad berkata para pelajar perlu menyedari kesan jangka panjang akibat komitmen yang berat tersebut.

“Mereka harus hadiri kelas setiap hari dan selesaikan tugas dan pada masa yang sama menguruskan tekanan dari tempat kerja.

“Ini akhirnya akan menyebabkan kemurungan dan tekanan yang teruk.”

Beliau berkata, bagi pelajar yang mempunyai pekerjaan sampingan, pengurusan masa adalah sangat penting.

“Gaya hidup mereka boleh dikira sebagai tidak sihat.

“Dalam jangka masa panjang, ia akan mempengaruhi bukan saja pelajaran bahkan masa depan mereka ketika melangkah ke alam pekerjaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Walaupun menghadapi kesukaran dalam menyeimbangkan antara belajar dan kerja, Adib percaya bekerja sambil belajar akan membantu mempersiapkan dirinya ketika dia beralih sepenuhnya ke dunia pekerjaan.

Bagaimanapun, Adib sedar dia meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap dirinya sendiri.

“Belajar sambil bekerja sepenuh masa adalah norma baru hari ini.

“Tetapi jika sampai hadapi keletihan melampau, saya tak fikir ia perlu dibiasakan,” katanya.

Adib menasihatkan rakan-rakan sebayanya untuk melakukan sesuatu perkara mengikut kadar kemampuan mereka.

“Saya pasti majikan memahami mengapa pelajar seperti kita memilih untuk bekerja sepenuh masa. Namun pada masa yang sama, kita tidak boleh gunakan alasan sebagai pelajar untuk dapatkan simpati daripada majikan dan pensyarah kita.

“Kita perlu ingatkan diri ini adalah pilihan kita sendiri.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.