- Iklan -
Berita

KKM buat penilaian semula peniaga burger dikompaun RM50,000

KKM amat prihatin serta memandang serius kes berkenaan dan meminta peniaga terbabit tampil mengemukakan permohonan rayuan terhadap kompaun itu secepat mungkin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba. Gambar: Bernama

Kementerian kesihatan (KKM) akan membuat penilaian semula terhadap kes seorang peniaga burger di Kelantan yang dikompaun RM50,000, sama ada diberi pengurangan atau pengecualian, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata KKM amat prihatin serta memandang serius kes berkenaan dan meminta peniaga terbabit tampil mengemukakan permohonan rayuan terhadap kompaun itu secepat mungkin.

“KKM melihat kes ini sebagai kes terkhusus dan perlu ditangani segera.

“Untuk itu, KKM akan membuat penilaian semula bagi mempertimbangkan sama ada akan diberikan pengurangan atau pengecualian sekiranya didapati ada asas yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung isu kompaun RM50,000 terhadap peniaga burger kerana berniaga melebihi waktu ditetapkan.

Tular di media sosial seorang peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000 kerana berniaga di hadapan rumahnya pada kira-kira 11 malam.

Adham berkata tujuan KKM menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan kompaun adalah untuk mendidik dan bukannya menghukum semata-mata.

Katanya, mereka yang dikompaun sentiasa diberikan peluang untuk mendapat keadilan dan dibenarkan mengemukakan rayuan mengikut mekanisme yang disediakan.

Di Kota Bharu, Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata pihaknya akan memanggil semua pemilik premis yang dikenakan kompaun termasuk seorang peniaga burger yang diberi notis kompaun RM50,000 sehingga tular di media sosial sejak semalam.

Shafien berkata tujuan memanggil pemilik-pemilik premis berkenaan ialah untuk menawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan di bawah Akta 342 dan peraturan di bawahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.