- Iklan -
Berita

Pakar PBB di Myanmar gesa junta segera henti keganasan

Pelaksanaan resolusi dalam pertemuan pemimpin Asean 24 April lalu adalah langkah pertama bagi mengakhiri keganasan yang telah meragut 750 nyawa warga Myanmar.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan melambaikan simbol pro demokrasi bagi membantah kudeta tentera di Myanmar. Gambar: AFP
Penunjuk perasaan melambaikan simbol pro demokrasi bagi membantah kudeta tentera di Myanmar. Gambar: AFP

Ketua pasukan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Myanmar pada Selasa menggesa pemimpin kudeta Myanmar melaksanakan jaminannya kepada Asean untuk “menghentikan segera keganasan.”

Pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di Myanmar, Thomas Andrews, menghantar surat terbuka kepada Jeneral Min Aung Hlaing, menyatakan pada 24 April, Min telah menghadiri pertemuan bersama para pemimpin Asean di Jakarta, Indonesia, menurut Agensi Anadolu.

Mesyuarat diadakan untuk menangani kemelut di Myanmar sejak rampasan kuasa 1 Februari lepas.

“Anda dilaporkan bersetuju, melalui dokumen konsensus yang dikeluarkan di akhir mesyuarat untuk ‘menghentikan segera keganasan di Myanmar’,” kata Andrews.

“Ini adalah langkah pertama yang mustahak untuk mengakhiri keganasan yang telah meragut 750 nyawa, termasuk kanak-kanak, di tangan pasukan tentera Myanmar.”

Menurut beliau, rakyat Myanmar yang melakukan tunjuk perasaan secara damai di seluruh negara untuk pemulihan demokrasi, “perlu dan berhak” mengetahui bahawa jeneral bermaksud untuk menghormati komitmen ini.

“Saya menulis untuk meminta komitmen umum anda bahawa anda akan menghormati hak asasi kebebasan bersuara rakyat Myanmar, termasuk menentang tindakan anda, tanpa rasa takut akan dicederakan, dibunuh, atau ditangkap sewenang-wenangnya,” kata pakar PBB itu.

Andrews seterusnya meminta agar tindakan diambil pihak junta terhadap rayuan yang dibuat oleh para pemimpin Asean, termasuk Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin, “agar anda segera dan tanpa syarat membebaskan semua tahanan politik” yang ditahan sejak rampasan kuasa.

Beliau turut meminta pemimpin rampasan kuasa untuk segera menerima kunjungan utusan khas pengerusi Asean dan membenarkan akses utusan khas itu ke “semua pihak yang terlibat,” termasuk Presiden Myanmar Win Myint dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi yang digulingkan.