- Iklan -
Berita

Walau wujud kebimbangan, pakar sokong vaksinasi AstraZeneca bagi warga emas

Mereka berkata vaksin Covid-19 itu selamat dan efektif untuk digunakan dan menggesa kerajaan jelaskan isu kesan sampingannya dengan baik demi elak kebimbangan.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Pakar kesihatan mendukung vaksin AstraZeneca digunakan bagi warga emas dan ia digunakan di sekurang-kurangnya 91 negara. Gambar: AP
Pakar kesihatan mendukung vaksin AstraZeneca digunakan bagi warga emas dan ia digunakan di sekurang-kurangnya 91 negara. Gambar: AP

Pakar kesihatan berusaha meredakan kebimbangan orang ramai berhubung penggunaan vaksin AstraZeneca dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), ketika menteri penyelarasnya Khairy Jamaluddin dijangka mengumumkan hasil perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa kesihatan mengenai kesan sampingan yang mungkin berlaku selepas suntikan vaksin itu diambil.

Dalam sidang media pada Isnin, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata vaksin AstraZeneca yang dibangunkan Universiti Oxford itu adalah selamat dan berkesan serta akan digunakan untuk vaksinasi warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Beliau berkata, melalui penelitian terhadap vaksin itu, mendapati AstraZeneca yang diselubungi kontroversi kes darah beku selepas suntikan, mendapati kebaikannya melebihi keburukan.

Pengumumannya itu bagaimanapun disambut orang ramai dengan rasa kebimbangan, terutama selepas beberapa negara termasuk Denmark mengambil keputusan untuk menghentikan sepenuhnya penggunaan AstraZeneca dalam program vaksinasi mereka.

Namun, pakar kesihatan yang bercakap kepada MalaysiaNow menyuarakan sokongan mereka terhadap keputusan kementerian kesihatan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Galen Center for Health and Social Policy Azrul Mohd Khalib berkata beliau yakin dengan keputusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang memberikan lampu hijau bagi penggunaannya di Malaysia.

Menurutnya, warga emas harus diberi vaksin, terutama jika mereka menghidap penyakit kronik.

“NPRA putuskan kedua-dua vaksin Sinovac dan AstraZeneca selamat digunakan.

“Ini merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk menentukan sama ada ubat atau produk farmaseutikal boleh digunakan dengan selamat di Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, semalam, ketika kerisauan orang ramai dilihat masih tinggi, Khairy berkata beliau akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan Adham mengenai isu tersebut.

“Saya perlu mengambil kira pandangan rakyat yang gusar, kita tidak mahu vaksin ini menggugat program imunisasi,” katanya.

Secara umumnya, Azrul menjelaskan kebanyakan kebimbangan atau stigma berkaitan dengan vaksin adalah berdasarkan kekurangan maklumat atau pemahaman yang tidak lengkap mengenai perkara tersebut.

“Penting bagi orang ramai tahu ini adalah vaksin yang selamat dan efektif.

“Kemungkinan darah beku akibat mengambil pil kontraseptif sebenarnya jauh lebih tinggi daripada mengambil suntikan vaksin ini,” katanya.

Vaksin AstraZeneca disifatkan sebagai “game changer” pada bulan Januari ketika pertama kali ia dilancarkan ekoran kos harganya yang mampu milik selain fakta ia tidak memerlukan suhu yang terlalu sejuk untuk penyimpanan seperti vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Ia juga menjadi produk vaksin yang menjadi tunjang inisiatif Covax, sebuah inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan negara-negara miskin dapat mengakses vaksin, dengan kosnya ditanggung penderma.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy, mengakui wujud kes darah beku yang dilaporkan di United Kingdom (UK) dan Eropah dalam kalangan pesakit yang disuntik vaksin AstraZeneca.

Namun, katanya, reaksi vaksin itu lebih sering berlaku pada mereka yang berusia muda, terutamanya wanita.

“Kita perlu tekankan yang paling berisiko mengalami kesan sampingan bukanlah golongan tua atau rentan. Yang berisiko adalah golongan muda,” katanya kepada MalaysiaNow dan menambah walaupun dalam kes demikian, kemungkinan timbul kesan sampingan adalah sangat kecil.

“Inilah sebabnya mengapa beberapa negara tidak memberikan AstraZeneca kepada mereka yang berusia di bawah 55 tahun.”

Bagaimanapun, katanya, para doktor di Malaysia menyedari kemungkinan keadaan yang mungkin timbul dan tahu mengenal pasti dan merawat kes-kes tersebut dengan segera menggunakan ubat-ubatan berlesen yang sedia ada dalam negara.

Subramaniam juga turut menjelaskan Malaysia masih kekurangan vaksin, dan berkata penggunaan setiap sumber yang ada adalah lebih baik demi membendung wabak tersebut.

Namun, beliau mendesak kerajaan menjelaskan risiko minimum tersebut dan juga manfaatnya kepada orang ramai bagi mengurangkan kebimbangan mereka terhadap perkara itu.

“Kerajaan harus menggunakan pelbagai saluran komunikasi untuk menjelaskan risiko minimum yang ada berbanding faedah yang akan diterima mereka.

“Buat masa ini, orang ramai mungkin tidak mahu ambil risiko tetapi dari faedah yang diketahui secara teori sahaja,” katanya.

Sebanyak 91 negara menyetujui penggunaan vaksin AstraZeneca dalam program imunisasi mereka.

Agensi kesihatan antarabangsa termasuk WHO dan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) berulang kali berkata faedah vaksin AstraZeneca melebihi risiko yang dimilikinya, termasuk dijangkiti Covid-19.

Dalam pada itu, Azrul mengulangi keyakinannya terhadap AstraZeneca yang turut digunaan kementerian kesihatan dalam portfolio vaksinasinya.

“Secara peribadi, jika vaksin AstraZeneca ditawarkan kepada saya, saya sedia mengambilnya,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.