- Iklan -
Berita

Ketika keli pemangsa bebas di sungai, nelayan Perak beralih ke sawah

Bagaimanapun nelayan tidak dapat elak ikan pemangsa yang turut menyerang tali air sawah padi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Udang Sungai Peral yang menjadi hasil utama tangkapan nelayan kini semakin berkurangan akibat kehadiran ikan pemangsa asing, keli redtail.
Udang Sungai Peral yang menjadi hasil utama tangkapan nelayan kini semakin berkurangan akibat kehadiran ikan pemangsa asing, keli redtail.

Nelayan Perak berhadapan kesukaran ketika berdepan spesies asing ikan keli pemangsa yang menceroboh sungai utama negeri itu menyebabkan mereka tidak lagi menghidupkan enjin bot di sungai dan menumpukan kerja di sawah padi.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan masalah penduduk kampung di sepanjang Sungai Perak yang bergantung hidup dengan sungai bagi penangkapan ikan dan udang galah tempatan.

Pada awal bulan ini, ratusan sangkar haram ternakan ikan keli redtail dikatakan dihanyutkan arus sungai berdekatan Teluk Intan menyebabkan timbul kebimbangan penduduk kampung mengenai kumpulan ikan asing pemangsa itu bebas mendiami sungai dan parit di sekitarnya.

Hari ini, kebimbangan mereka itu ternyata benar apabila semakin banyak ikan keli jenis itu ditemui di beberapa terusan dan parit di sepanjang sungai tersebut.

Peningkatan jumlah spesies itu menyebabkan tangkapan ikan nelayan semakin berkurangan berbanding sebelum ini.

Mohd Nazim Samsudin, yang bercakap kepada MalaysiaNow berhubung masalah tersebut awal bulan ini berkata situasi tangkapan beberapa minggu kebelakangan ini menjadikan mereka hilang semangat untuk turun ke sungai.

“Ikan ini makan ikan-ikan kecil dan udang air tawar besar yang biasa kami tangkap untuk dijual kepada orang kampung dan restoran.

“Sekarang, 300g tangkapan pun kami sukar nak dapatkan,” katanya.

Ikan keli redtail itu juga turut ditemui di Kota Setia dan Bagan Datuk.

Sungai Perak terkenal dengan udang air tawarnya sehingga menarik peminat aktiviti penangkapan ikan dari seluruh negara.

Banyak restoran makanan laut dan gerai makan di Teluk Intan dan beberapa kawasan lain di daerah berdekatan menyediakan hidangan udang istimewa itu dalam menu istimewa mereka.

Namun kini, udang air tawar itu terus berkurangan dipercayai akibat spesies asing yang kini mendiami Sungai Perak.

Para nelayan bahkan tidak mendapat hasil tangkapan yang cukup untuk jualan menampung kos minyak diesel bot mereka.

“Saya ada turun ke sungai empat, lima kali selepas itu.

“Setiap kali turun, saya tak dapat hasil macam sebelum ini. Hanya redtail saja yang makan umpan,” kata Nazim.

Ekoran itu, Nazim dan rakan-rakannya kini tidak lagi turun ke sungai.

“Sebelum ini, saya gilirkan antara sungai dan kerjakan sawah.

“Tapi sekarang, memang tumpu di sawah padi saja,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, tuaian padi hanya boleh dilakukan selepas enam bulan.

Sementara menunggu penuaian padi, dia memperoleh pendapatan dengan melakukan kerja-kerja di relung sawah orang lain.

Seorang lagi nelayan Hairil Shari berkata dia tidak lagi mendapat hasil udang yang banyak sehingga dalam sekali turun ke sungai 10 ekor udang pun tidak dapat dibawa pulang.

“Selain tangkap ikan, kami sewakan sampan kami kepada pemancing ikan setiap minggu. Saya boleh dapat RM2,000 sebulan dari tangkapan udang galah dan sewakan bot saya,” katanya.

Menurut Hairil, kini dia bernasib baik sekiranya dapat mengumpul RM1,000 sebulan.

Lebih merisaukan nelayan Perak ketika ini adalah bulan Ramadan sering menjanjikan peningkatan permintaan udang galah.

“Masih ada permintaan, tapi bekalan dah berkurang sejak beberapa minggu lalu,” kata Hairil.

Ekoran itu, dia juga menumpukan kerja-kerja di relung sawah.

Malangnya, ketika di sawah pun mereka tidak dapat mengelak daripada spesies ikan tersebut kerana ia turut menceroboh sistem tali air dan irigasi sawah padi.

Muhammad Fariz Fiza Muhammad Saufi yang mengusahakan restoran Teluk Intan dengan hidangan istimewa berasaskan udang Sungai Perak berkata bekalan udang untuk restorannya masih stabil ketika ini.

Katanya, hal ini mungkin disebabkan spesies keli redtail memburu ikan kecil dan udang galah.

Fariz bagaimanapun turut bersetuju dengan dakwaan nelayan bekalan udang akan terganggu jika situasi tersebut tidak ditangani segera.

“Permintaan udang Teluk Intan semakin bertambah setiap tahun.

“Pada masa akan datang, kami khuatir bekalan itu tak dapat menampung permintaan menyebabkan harga udang naik.”