Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru, berkuat kuasa pada 4 Mei depan, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.
Acryl akan menggantikan Abdul Hamid Bador yang dilantik ke jawatan itu sejak 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah selepas menerima nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
“Saya nak maklumkan setelah proses dilakukan SPP dan dipersetujui oleh semua ahli Suruhanjaya. Semua setuju Acryl Sani diangkat sebagai ketua polis negara yang baru termasuk Abdul Hamid Bador,” katanya pada sidang media di kementerian dalam negeri selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada Acryl hari ini.
Acryl dilahirkan pada 3 Oktober 1961 di Selangor, beliau berkelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia dan menyertai paukan polis pada 2 Februari 1986.
Sepanjang perkhidmatan beliau, Acryl pernah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan ibu pejabat Bukit Aman.
Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah pesuruhjaya polis Sarawak, ketua polis Perak, pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, dan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil serta pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi.