Keputusan memansuhkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) oleh kementerian pendidikan baru-baru ini dilihat tepat dan sesuai dengan generasi masa kini yang menghadapi persekitaran semakin mencabar, kata seorang timbalan menteri.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mas Ermieyati Samsudin berkata, murid-murid tidak wajar dibebankan dengan peperiksaan awam seawal usia 12 tahun kerana zaman persekolahan seharusnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan bagi kanak-kanak.
Katanya, UPSR membuatkan ibu bapa menjadi kompetitif dengan menghantar anak-anak ke pusat tuisyen, selain guru besar turut berlumba-lumba mendapatkan peratusan cemerlang.
“Saya juga berpandangan bahawa kementerian pendidikan perlu memiliki pelan jangka pendek dan jangka panjang serta strategi yang berkesan bagaimana cara untuk mengadaptasi sesi pembelajaran norma baru serta kaedah pentaksiran yang sesuai dengan keperluan murid bagi membangunkan akademik pada masa yang sama sahsiah mereka di zaman mencabar ni.
“Sudah pasti pembelajaran norma baharu ini berkait rapat dengan pemerkasaan pendidikan secara digital (e-pembelajaran).
“Konsep ini digunakan dalam PdPR sebelum ini dan telah mendapat pelbagai reaksi daripada guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru katanya, kerajaan wajar memastikan infrastruktur berkaitan capaian internet memenuhi keperluan terutama di luar bandar.
Minggu ini Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia), Radzi Jidin mengumumkan pemansuhan peperiksaan UPSR bermula tahun 2021, selain pembatalan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Serentak itu, kaedah pentaksiran murid pada tahun ini akan dilaksanakan menerusi pemerkasaan pentaksiran beraskan sekolah dan kemasukan ke sekolah khusus akan melalui Peperiksaan Khas Sekolah Khusus (PKSK).