- Iklan -
Berita

Langkah bagus, kata pendidik Sarawak berhubung pemansuhan UPSR

Mereka berkata pemansuhan peperiksaan awam murid Tahun Enam itu akan membolehkan guru dan pelajar menikmati proses pembelajaran.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Pakar pendidikan berkata, pembelajaran di sekolah harus menjadi sebuah pengalaman yang tidak membuat pelajar tertekan sebaliknya menggembirakan.
Pakar pendidikan berkata, pembelajaran di sekolah harus menjadi sebuah pengalaman yang tidak membuat pelajar tertekan sebaliknya menggembirakan.

Pendidik di Sarawak memuji langkah kerajaan memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diduduki murid Tahun Enam sebelum ke pendidikan menengah, dan menyifatkan ia boleh memberi peluang kepada guru untuk mengenal pasti kreativiti murid-murid dalam kemahiran pembelajaran mereka di sekolah.

Adam Prakash dari Kesatuan Guru Sarawak berkata pemansuhan UPSR adalah langkah tepat dalam hala tuju pendidikan negara.

“Ia mengurangkan satu lagi tekanan kepada pelajar, ibu bapa dan guru anak-anak di sekolah rendah,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Anak-anak akan seronok berada di sekolah, dan guru akan menikmati pekerjaan mereka kerana tumpuan sekarang adalah pada pengajaran dan pembelajaran, bukannya peperiksaan awam.”

Menurutnya, penilaian akademik seperti UPSR terlalu menekankan latihan pelajaran demi membantu pelajar memperolehi markah lebih baik sehingga menyebabkan kesejahteraan sosial mereka diabaikan.

Dalam pada itu, katanya, guru pula terpaksa menumpukan perhatian pada penghafalan bukannya penerapan pengetahuan oleh pelajar.

“Kita sudah rompak pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan daripada anak-anak kita sampai waktu petang yang patutnya waktu bermain sebaliknya mereka kena pergi ke kelas tuisyen pula,” katanya.

“Anak-anak kita dijadikan subjek penilaian dan ujian dari tahun pertama mereka di sekolah. Disebabkan pada usia awal kena buat persediaan hadapi peperiksaan awam, ditambah pula tuntutan dan harapan ibu bapa, anak-anak akhirnya hadapi tekanan.”

Ahli Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak Ahmad Malie, yang sebelum ini pernah menggesa kerajaan untuk memansuhkan UPSR turut bersetuju.

Beliau berkata UPSR menjadikan persekitaran pembelajaran di sekolah “kaku” kerana guru menumpukan perhatian untuk membantu pelajar mencapai sebanyak mungkin “A”.

Dengan ruang yang lebih banyak diberikan ketika ini untuk menyelesaikan sukatan pelajaran, murid akan dapat memahami pelajaran dengan lebih baik.

“Saya fikir kesan pandemik Covid-19 terhadap pendidikan memberikan ruang untuk kementerian mempertimbangkan langkah ini,” katanya.

“Pemansuhan UPSR juga akan beri peluang kepada guru dan murid untuk lebih fokus pada kandungan pelajaran. Ini akan mendorong kreativiti dan pasti akan menjadikan murid lebih gembira.”

Rabu lalu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan peperiksaan UPSR akan dimansuhkan tahun ini.

Beliau juga turut mengumumkan pembatalan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi 2021.

Menurut Ahmad, kerajaan juga patut memansuhkan PT3, dan menambah penumpuan terhadap peperiksaan itu juga tidak berbeza dengan Penilaian Menengah Rendah atau PMR sebelum ini.

“Ibu bapa dan ramai orang masih bertanya berapa banyak A yang anak-anak kita dapat dalam PT3. Mentaliti peperiksaan ini masih ada,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.