- Iklan -
Berita

SOP terkorban kerana demam Aidilfitri?

Kerumunan pelanggan di pusat beli belah dan bazar menyukarkan pelaksanaan SOP penjarakan fizikal.

Farhira Farudin dan Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Aidilfitri yang bakal dirayakan penduduk Malaysia menyaksikan kerumunan pelanggan berkunjung ke pusat beli belah sehingga menyukarkan premis melaksanakan SOP Covid-19.
Aidilfitri yang bakal dirayakan penduduk Malaysia menyaksikan kerumunan pelanggan berkunjung ke pusat beli belah sehingga menyukarkan premis melaksanakan SOP Covid-19.

Nampaknya pematuhan SOP semakin berkurangan di beberapa lokasi ekoran sebahagian besar warga sibuk melakukan persiapan menyambut Aidilfitri di tengah-tengah lonjakan angka kes harian Covid-19 yang masih mencatat empat angka sehingga ia dilihat akan menyukarkan usaha untuk mengawal wabak itu menjelang Mei.

Bazar, kedai tekstil, dan butik adalah antara lokasi panas menjelang Hari Raya Aidilfitri kedua yang disambut di tengah pandemik global ini.

Orang ramai dilihat mula mengerumuni pusat beli belah dan pasar raya sekali lagi sehingga ia menimbulkan persoalan bagaimana kadar pematuhan SOP penjarakan fizikal yang merupakan langkah utama dalam mengawal penularan Covid-19.

Tinjauan MalaysiaNow di beberapa pusat beli-belah popular seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur dan Seksyen 7 di Shah Alam mendapati kadar pematuhan SOP dalam kalangan pelanggan adalah tidak memuaskan.

Beberapa pelanggan yang ditemui MalaysiaNow di Jalan Tuanku Abdul Rahman berkata mereka berada di situ kerana alasan nostalgia dan bagi menghidupkan semangat perayaan.

Seorang suri rumah dari Ampang, Suria berkata dia mengunjungi bazar Aidilfitri kerana tidak dapat melakukannya tahun lalu.

“Saya dah lama tak keluar, sebab itulah saya datang ke sini.

“Datang sini nak tengok-tengok barang, saya rasa saya tidak beli apa-apa pun,” katanya.

Orang ramai beratur panjang di bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman. Pematuhan SOP dalam kalangan pelanggan boleh menjejaskan usaha kawalan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Sementara itu, Wati pula berkata dia ke sana sebab merasakan ia adalah satu hal yang perlu dilakukan setiap kali menyambut Aidilfitri.

“Saya datang ke sini sebab nak jalan-jalan, sebab saya sudah beli pakaian Hari Raya pada bulan Januari,” katanya.

“Saya rasa kena datang bazar tahun ini dan tengok apa yang mereka tawarkan.”

Bagaimanapun, baik hanya sekadar berjalan-jalan atau serius membeli barang, kerumunan pelanggan dilihat sebagai kesukaran yang terpaksa dihadapi pemilik kedai dan kakitangan yang perlu memastikan semua pengunjung kedai mereka mematuhi SOP kesihatan.

Sam, seorang penyelia di sebuah jabatan stor di Shah Alam, berkata sangat sukar untuk mengawal pergerakan orang ramai pada hujung minggu kerana pelanggan lebih gemar mengunjungi kedai fizikal untuk mencuba pakaian mereka sendiri daripada membelinya secara dalam talian.

“Sebelum Covid-19, orang lebih ramai datang, namun setelah PKP, jumlah pelanggan semakin teruk.

“Semua orang mahu keluar kerana mereka simpan duit untuk membeli-belah bagi menyambut raya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sam berkata, kakitangannya berusaha sehabis baik untuk memastikan pelanggan mematuhi SOP dengan memberikan nombor giliran yang mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa.

Di kaunter, hanya seorang sahaja yang dibenarkan buat pembayaran pada satu masa.

Pelanggan akan dialihkan ke kaunter tambahan jika barisan menjadi terlalu panjang.

Pengumuman berkala juga dilakukan melalui pembesar suara untuk mengingatkan pelanggan supaya menjaga penjarakan antara satu sama lain.

Pakar kesihatan mencadangkan satu keluarga menghantar satu wakil untuk membeli barangan menyambut Aidilfitri bagi mengelakkan kesesakan.

Namun, walaupun sudah melakukan semua langkah itu sedaya upaya mereka, Sam menganggarkan pematuhan SOP dalam kalangan pelanggan adalah sekitar “50-50”.

“Beberapa pelanggan ikuti tetapi ada yang tidak ikut. Mereka buat sesuka hati mereka,” katanya.

Di bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman, hanya 200 orang yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa.

Setiap gerai dikendalikan dua orang kakitangan, dan hanya tiga pelawat yang dibenarkan masuk pada satu waktu.

Dengan langkah-langkah demikian ia juga bermaksud ramai orang yang terpaksa beratur beberapa jam sebelum berpeluang memasuki bazar.

Seorang pemilik kedai di Arked Jalan Bunus berkata pelanggan bersedia melakukannya kerana mereka tidak dapat mengunjungi bazar tahun lalu.

“Apa yang saya lihat, orang ramai dah tak tahan duduk di rumah terlalu lama.

“Terutama pada musim raya sekarang ini, mereka rela beratur panjang untuk beli barangan raya mereka,” katanya.

Namun, pakar kesihatan mengingatkan menjaga jarak yang selamat adalah satu langkah utama yang perlu diberikan perhatian kerana orang ramai tetap berdegil walaupun denda berat diumumkan selain sudah banyak maklumat mengenai Covid-19 menular.

Presiden Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia Dr Raj Kumar Maharajah berkata hal ini berlaku disebabkan oleh penguatkuasaan undang-undang yang lemah.

“Masalah kita adalah penguatkuasaan, bukan jumlah denda,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Dengan penguatkuasaan yang lemah, tidak ada gunanya menaikkan jumlah denda dari RM1,000 menjadi RM10,000.”

Sementara itu, Dr Kuljit Singh dari Persatuan Hospital Swasta Malaysia turut mengingatkan katil-katil di wad Covid-19 sudah penuh di semua hospital swasta di seluruh negara ketika ini.

Beliau berkata pesakit yang dijangkiti akan lebih sukar untuk mendapatkan rawatan jika terlalu banyak kes harian dicatatkan kerana hospital tidak lagi memiliki ruang untuk pesakit.

Beliau turut menasihatkan agar pelanggan mengirim seorang wakil bagi satu keluarga untuk membeli barangan yang diperlukan bagi menyambut musim perayaan demi mengelakkan kesesakan di pusat beli belah dan pasar raya.

“Saya tahu satu keluarga ingin keluar rumah beli-belah, tetapi dengan berbuat demikian, anda sudah ambil hak orang lain.

“Kita perlu mematuhi perintah yang ditetapkan. Sekiranya tidak, nanti semuanya kena tutup.”