- Iklan -
Berita

Peguam Najib jalani kuarantin, bicara 1MDB, rayuan SRC ditangguh

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk tangguhkan perbicaraan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak ketika menghadiri perbicaraan rayuan kes SRC International bulan lalu. Gambar: Bernama
Najib Razak ketika menghadiri perbicaraan rayuan kes SRC International bulan lalu. Gambar: Bernama

Perbicaraan Najib Razak di Mahkamah Tinggi berhubung skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan rayuan berkaitan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Rayuan, telah ditangguhkan kerana seorang daripada peguam utamanya sedang menjalani kuarantin Covid-19.

Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee melalui mesej WhatsApp kepada wartawan hari ini.

“Kedua-dua kes (SRC dan 1MDB) terpaksa dilapangkan minggu ini kerana seorang daripada peguam utama pasukan kami menjalani ujian dan kuarantin kerana kontak rapat kepada beberapa pesakit Covid-19 yang disahkan.

“Memandangkan seluruh pasukan telah bekerja rapat dengan peguam, langkah berjaga-jaga perlu diambil,” katanya.

Sementara itu, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib melalui pesanan WhatsApp berkata pihak pembelaan telah memohon penangguhan Jumaat lepas.

“Mereka menghantar surat ke mahkamah lewat petang Jumaat,” katanya sambil menambah hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pembelaan.

Hari ini, pihak pembelaan sepatutnya memeriksa balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang merupakan saksi pendakwaan ke-10.

Beliau telah memberi keterangan sejak September tahun lalu.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bagi kes SRC, Najib mengemukakan rayuan terhadap Keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan CBT, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Pendengaran rayuannya dalam kes SRC ditetapkan untuk bersambung pada Khamis ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.