- Iklan -
Berita

Penahanan saya bermotif dendam, kata bekas peguam Sultan Johor

Kamal Hisham Ja'afar berkata, dia yakin Sultan Johor secara peribadi tidak terlibat dengan kes terbarunya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam Sultan Johor, Kamal Hisham menolak penglibatan Sultan Ibrahim dalam penahanannya baru-baru ini oleh pihak polis. Gambar: Facebook
Bekas peguam Sultan Johor, Kamal Hisham menolak penglibatan Sultan Ibrahim dalam penahanannya baru-baru ini oleh pihak polis. Gambar: Facebook

Bekas peguam kepada Sultan Johor Kamal Hisham Jaafar berkata penahanannya oleh sepasukan polis baru-baru ini bermotifkan dendam, namun menolak penglibatan secara langsung oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Kamal berkata ia mungkin membabitkan pihak-pihak yang rapat dengan Sultan Ibrahim yang kurang senang dengan kehidupannya yang kini bebas selepas kesnya digugurkan mahkamah beberapa tahun lalu.

“Orang-orang sekeliling Sultan tengok saya hidup sudah okay.. nampak tiada apa. Semasa kes saya berjalan dahulu, Sultan sentiasa panggil mereka untuk dapatkan perkembangan. Apabila sudah tiada apa-apa, mereka jadi kurang penting.

“Saya rasa Sultan tak terlibat, saya terlalu ‘kecil’ untuk diperlaku sebegitu oleh Sultan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow hari ini.

Kamal memfailkan notis tuntutan saman fitnah sebanyak RM50 juta terhadap Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Notis guaman tersebut diserahkan oleh Tetuan Kamal Hisham & Associates kepada Ayob Khan semalam di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Diraja Malaysia Johor Bahru.

Ayob pada satu sidang akhbar memaklumkan Polis Johor menahan seorang peguam yang menyamar sebagai peguam istana diraja Johor pada Khamis lalu, susulan laporan polis yang dibuat pada 31 Mac 2011.

Menurut Ayob, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 17 kes lampau berkaitan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan akta syarikat.

Mengenai dakwaan Ayob, Kamal melahirkan rasa kecewa terhadap ketua polis Johor itu kerana didakwanya tidak melakukan semakan.

“Pegawai polis boleh semak sistem polis. Kalau ada rekod jenayah, dah lama lesen peguam saya ditamat. Saya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Pasport saya masih sah dan Majlis Peguam tak pernah batalkan lesen saya,” katanya.

Kamal turut menjelaskan tidak pernah menyamar sebagai peguam diraja Johor.

“Saya juga tidak pernah disabitkan dengan pertuduhan jenayah. Kes saya digugurkan oleh mahkamah,” katanya.

Katanya, saman terhadap ketua polis Johor itu juga dilakukan kerana ingin menjaga nama baik perniagaannya.

“Saya boleh rugi banyak. Bila jadi macam ini, hendak ambil pinjaman pun sangkut, saya juga kilang kecil dan sederhana selain business francais.

“Saya tak faham apa niat Ayob. Saya nak mula hidup baru,” katanya.

Dalam satu kenyataan bulan lepas, Kamal berkata kes terbaru yang dipertuduhkan ke atas dirinya di Mahkamah Sesyen Shah Alam adalah satu pertuduhan yang bersifat “malicious prosecution” dan berniat jahat kerana tiada salah laku jenayah dalam kes itu.

“Kes ini pernah disiasat pada tahun 2011 dan telah dikategorikan sebagai ‘No Further Action’.” menurut kenyataan itu.

Pada 2018, mahkamah sesyen di Johor Bahru mengenakan denda RM30,000 terhadap Kamal setelah peguam itu mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

Dia diberikan tawaran oleh pihak pendakwaan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah untuk mengaku salah bagi satu pertuduhan yang hukumannya paling minimum iaitu denda dan tiada rekod jenayah.

Sebelum itu, Sultan Ibrahim pada Jun tahun sama bersetuju memaafkan Kamal daripada segala perbuatan, persuratan, perlakuan dan tindakan yang dibuat sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja terhadapnya.

Kamal ditahan reman pada September 2015 atas kes penipuan selepas dilaporkan berpindah ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Dia ditahan reman selama hampir tiga tahun, sekali gus mencatat rekod tahanan reman paling lama dalam sejarah Malaysia.

Kamal berkata, hubungannya dengan kerabat diraja Johor mula keruh selepas  kemangkatan Sultan Johor terdahulu, Sultan Iskandar.

Difahamkan, ia membabitkan isu pembahagian harta.