Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Eric Tan Kim Loong yang didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, membayar cukai pendapatan RM67,996,891.87 kepada kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perintah itu dikeluarkan timbalan pendaftar Farah Shuhada Ramli semasa pengurusan kes di hadapannya.
Berdasarkan semakan dalam sistem mahkamah (e-filing), Tan juga diperintah membayar faedah pada kadar 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi dan kos sebanyak RM2,000 kepada kerajaan selaku plaintif.
Menurut perakuan ketidakhadiran difailkan LHDN pada 6 April 2021, suatu afidavit penyampaian writ saman dan penyataan tuntutan bertarikh 15 Januari lepas kepada Tan telah diserahkan secara penyampaian ganti melalui pengiklanan di akhbar Berita Harian pada 30 Mac 2021 dan penampalan di premis beralamat di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur, pada 29 Mac 2021.
“Maka dengan ini diperakui bahawa tiada kehadiran telah dimasukkan untuk Tan,” menurut perakuan kehadiran itu.
Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN pada 15 Januari lepas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan Tan, 43, sebagai defendan menuntutnya membayar tunggakan cukai berjumlah RM67,996,891.87 bagi tahun taksiran 2010 hingga 2013.