- Iklan -
Berita

BN Negeri Sembilan retak, Pemuda Umno Seremban putuskan hubungan dengan MCA

Notis mengenai penamatan kerjasama Umno dan MCA itu dihantar kepada Ketua Umno Bahagian Seremban Mustafa Salim hari ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Provokasi media berbahasa Cina berkait perebutan kerusi Parlimen Seremban untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi faktor keretakan Barisan Nasional Negeri Sembilan. Gambar: Bernama
Provokasi media berbahasa Cina berkait perebutan kerusi Parlimen Seremban untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi faktor keretakan Barisan Nasional Negeri Sembilan. Gambar: Bernama

Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan retak apabila Pemuda Umno Seremban memutuskan semua bentuk kerjasama dengan MCA di negeri itu gara-gara provokasi berterusan parti itu di media berbahasa Cina.

Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussein berkata, provokasi itu berkait rapat dengan perebutan kerusi Parlimen Seremban untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Umno Seremban sudah membuat mesyuarat memutuskan Umno akan bertanding untuk Parlimen Seremban. Kami dah bawa perkara ini kepada Perhubungan Umno Negeri Sembilan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Terpulang pada mereka hendak letak siapa, tapi mesti calon Umno. MCA cakap mereka tidak akan berkompromi (soal kerusi)”.

Zool berkata, notis mengenai penamatan kerjasama itu dihantar kepada Ketua Umno Bahagian Seremban Mustafa Salim hari ini.

Katanya, Pengerusi MCA Negeri Sembilan Siow Koi Voon baru-baru ini menyatakan Pemuda Umno Seremban hanyalah suara kecil, sebagai respon kepada kenyataannya mengenai kerusi Parlimen itu.

Menurut Zool, MCA tidak mempunyai sebarang peluang untuk memenangi kerusi Parlimen Seremban.

“Dapatan kami menunjukkan pengundi atas pagar mahukan calon Melayu. Ini bukan soal kerusi tradisi siapa, tapi kita mahu menang kerusi tersebut.

“Sebaliknya, MCA patut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), seperti DUN Temiang atau Lobak. Kita kena buat ujian kecil (kepada MCA) dahulu baru ujian besar,” katanya.

Umno Seremban baru-baru ini membawa usul agar kerusi Parlimen itu ditandingi oleh calon mereka untuk PRU15.

Pada PRU14, kerusi Seremban dimenangi calon DAP, Anthony Loke dengan majoriti 50.4% (55,503) sekali gus menewaskan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Chong Sin Woon yang memenangi 22.5% (24,809) dan calon PAS Shariffuddin Ahmad yang meraih 10.4% (11,506).

MCA bertanding di kerusi Parlimen Seremban selama tiga penggal, namun tidak pernah memenanginya.