Ketua pemuda Bersatu Kelantan Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz, 36, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, kira-kira 6 pagi tadi.
Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar Pemuda Bersatu Kelantan Che Isham Sharudin Che Hamat Nordin ketika dihubungi Bernama.
“Allahyarham difahamkan mengalami sakit dada dan rebah ketika sahur pagi tadi di kediamannya sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas. Allahyarham disahkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pasir Mas, buat masa ini jenazah arwah masih berada di hospital untuk pemeriksaan lanjut.
“Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Benta, Kampung Pohon Buluh, Pasir Mas selepas solat zuhur,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Muhammad Amiin Ridhuwan yang juga Ketua Armada Pasir Mas merupakan seorang ketua yang cukup komited dan berani mendepani isu rakyat sepanjang diberikan mandat memimpin pemuda Bersatu Kelantan sejak tahun lepas.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan insan soleh,” katanya sambil memberitahu Muhammad Amiin Ridhuwan meninggalkan dua balu dan lapan orang anak.