- Iklan -
Berita

Sultan Muhammad V dukacita rakyat Kelantan ambil ringan SOP Covid-19

Baginda juga menekankan bahawa peranan semua pihak dalam usaha melandaikan lengkung jangkitan kes penularan Covid-19 adalah sangat penting.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pembantu kedai, Muhamad Danial Che Mohd Khairul Hazian, 18, memeriksa sebahagian kopiah yang dijual sebagai persediaan jualan menjelang Aidilfitri ketika tinjauan di hadapan Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Kelantan pada 29 April, 2021. Gambar: Bernama
Pembantu kedai, Muhamad Danial Che Mohd Khairul Hazian, 18, memeriksa sebahagian kopiah yang dijual sebagai persediaan jualan menjelang Aidilfitri ketika tinjauan di hadapan Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Kelantan pada 29 April, 2021. Gambar: Bernama

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menzahirkan kebimbangan susulan peningkatan mendadak kes harian Covid-19 di negeri itu sejak pertengahan April lepas dengan semalam (5 Mei) merekodkan sebanyak 480 kes.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Kelantan, Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata baginda juga menzahirkan rasa dukacita apabila melihat ramai rakyat Kelantan masih mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

“Baginda turut menyeru semua supaya mengambil serius pematuhan SOP PKP yang ditetapkan. Baginda juga menekankan bahawa peranan semua pihak dalam usaha melandaikan lengkung jangkitan kes penularan Covid-19 adalah sangat penting,” katanya menerusi satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, berikutan penularan varian Afrika Selatan B.1.351 yang dikesan di negeri itu, baginda menitahkan semua pihak terutamanya rakyat Kelantan, perantau mahupun golongan kenamaan atau selebriti supaya tidak merentas negeri sekiranya tiada kecemasan.

Shafriman berkata Sultan Muhammad V juga menyarankan peniaga agar mengutamakan pengurusan perniagaan melalui dalam talian.

“Baginda benar-benar berharap seluruh rakyat bekerjasama dalam melindungi ahli keluarga sekeliling dan berempati dengan kakitangan kementerian kesihatan (KKM) yang banyak berkorban sejak awal pandemik demi mengekang penularan COVID-19 lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri minggu hadapan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Shafriman, Sultan Kelantan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kakitangan KKM yang tidak mengenal penat lelah dalam berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat.

“Sempena minggu terakhir Ramadan ini, baginda turut mengajak semua rakyat berdoa ke hadrat Allah S.W.T supaya penularan Covid-19 dapat dibendung secepat mungkin serta tindakan kolektif diambil rakyat dapat segera melandaikan jangkitan wabak yang semakin membimbangkan,” tambah Shafriman.

Justeru, baginda mengingatkan seluruh rakyat Kelantan supaya sentiasa memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan tangan untuk mengelak jangkitan wabak berkenaan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.