Seorang kanak-kanak perempuan melepaskan tembakan mencederakan tiga orang sebelum senjatanya dirampas seorang guru di sebuah sekolah di Idaho, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Pelaku merupakan pelajar Rigby Middle School yang tidak disebutkan namanya, dia dipercayai berusia 11 atau 12 tahun.
“Dia mengambil pistol dari beg, melepaskan beberapa tembakan di kawasan dalam dan luar sekolah,” kata jurucakap polis Jefferson Steve Anderson.
Menurut Anderson, dua pelajar dan seorang kakitangan cedera ringan dalam kejadian tersebut.
“Semasa tembakan berlaku, seorang guru bertindak pantas merampas senjata daripada pelajar tersebut, dan pihak berkuasa telah menahannya,” kata Anderson.
Kejadian tembakan tersebut sedang disiasat oleh FBI dan penguatkuasa undang-undang tempatan.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, AS menyaksikan banyak kejadian tembakan termasuk di sebuah kemudahan FedEx di Indianapolis, sebuah pejabat di California, dan di kedai serbaneka di Colorado selain beberapa premis spa di Atlanta.
Bulan lalu, Presiden AS Joe Biden menyifatkan kekerasan senjata api AS sebagai “wabak” dan sebuah “hal yang memalukan di peringkat antarabangsa”.
Menurut Arkib Keganasan Senjata Api AS, terdapat lebih dari 43,000 kematian direkodkan akibat jenayah berkaitan senjata api di AS tahun lalu, termasuk bunuh diri.