- Iklan -
Berita

Kes meningkat menjelang Aidilfitri, Gawai, pemimpin masyarakat Sarawak digesa jadi teladan

Daripada pemimpin masyarakat di kampung hingga pihak berkuasa, pelaksanaan berterusan langkah keselamatan dalam kegiatan budaya sangat penting demi mengelak penularan Covid-19.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Masyarakat rumah panjang di Sarawak sangat menitik beratkan perayaan dan aktiviti kebudayaan. Peranan pemimpin sangat penting bagi memastikan SOP kesihatan dipatuhi penduduk kampung.
Masyarakat rumah panjang di Sarawak sangat menitik beratkan perayaan dan aktiviti kebudayaan. Peranan pemimpin sangat penting bagi memastikan SOP kesihatan dipatuhi penduduk kampung.

Pakar kesihatan menggesa pemimpin masyarakat di Sarawak melaksanakan langkah-langkah kesihatan dengan lebih tegas demi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penduduk setempat kerana sebarang kecuaian boleh menyebabkan kesan buruk terhadap usaha melawan Covid-19 di negeri itu, terutama sepanjang perayaan besar yang bakal menjelang.

Dr Bernard Ting dari Hospital Sentosa berkata, lonjakan kes Covid-19 di Sarawak terdiri daripada kes penularan tempatan yang kebanyakannya berkaitan dengan kluster melibatkan pertemuan dan aktiviti sosial.

“Bulan ini, kita akan menyambut dua perayaan besar: Aidilfitri dan Gawai Dayak.

“Penting bagi semua orang untuk memikirkan harga yang harus dibayar jika mereka dijangkiti. Jangan pandang ringan langkah keselamatan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sejak kebelakangan ini, Sarawak merekodkan ratusan kes harian Covid-19.

Angka itu turut dicatatkan negeri-negeri lain seperti Selangor, Kelantan dan Kuala Lumpur yang kini diletakkan di bawah status perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ting berkata sangat penting pemimpin masyarakat di Sarawak berusaha memberikan dorongan kepada penduduk kampung supaya terus mematuhi SOP kesihatan.

“Sebilangan besar penduduk kampung mematuhi pemimpin masyarakat mereka, dan para pemimpin mungkin lebih mengetahui apa yang terbaik mengenai keperluan masyarakat mereka.

“Sekiranya mereka memimpin dengan teladan, saya pasti kebanyakan mereka akan ikut.”

Bagaimanapun, walaupun pemimpin menunjukkan contoh dan menasihati penduduk kampung, mengubah pemikiran masyarakat yang sangat mementingkan acara sosial dan budaya di Sarawak tetap menjadi cabaran sukar.

Seorang pemimpin masyarakat Bidayuh Serian, Henry Bujang Sadok Sendan, memetik contoh kluster yang melibatkan upacara pengebumian di rumah panjang.

“Kluster-kluster rumah panjang kerana budaya kami yang biasa melaksanakan acara penghormatan,” katanya.

“Seperti apa yang berlaku (di rumah panjang), acara kematian dan pesta kelahiran adalah dua penyebab utama penularan agresif virus.

“Ketika kematian berlaku, ramai orang akan datang ke rumah si mati untuk memberi penghormatan. Biasanya, orang akan berkumpul ramai-ramai kerana bukan hanya saudara-mara yang datang, bahkan rakan-rakan dan mereka yang mengenali si mati turut hadir.

“Ini budaya kami orang Bidayuh.

“Sekiranya kita tidak hadir memberikan penghormatan kepada si mati, kita dianggap angkuh,” katanya.

Beliau berkata, ketika berlaku sesuatu kematian, seluruh kampung akan terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Mereka akan berkumpul di rumah si mati, baik siang atau malam.”

Menurutnya, sesi minum arak dan judi juga akan turut diadakan. “Dalam keadaan begitu, tidak mungkin SOP boleh dipantau.”

Ketika Aidilfitri dan Hari Gawai bakal menjelang tidak lama lagi, Henry sangat berharap agar pemimpin masyarakat menjalankan tanggungjawab mereka, melaksanakan langkah-langkah kesihatan yang diperlukan di seluruh kawasan kampung.

Pelbagai masalah

Menurut Henry, sebahagian daripada masalah yang dihadapi masyarakat rumah panjang, adalah sekatan perjalanan dilonggarkan bagi yang berulang-alik dari tempat kerja dan tempat tinggal.

“Pergerakan orang ramai ke bandar pada waktu pagi dan kemudian pulang ke kampung pada waktu petang tidak dapat dikawal,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ketika mereka berada di tempat kerja, kita tak tahu dengan siapa mereka bergaul, apakah mereka itu dijangkiti Covid-19 atau sihat.”

Pinky Sandom dari Bintangor, ibu kota Meradong di Sarikei, berkata di bandar itu, semakin ramai orang pergi tempat sesak dan pertemuan sosial.

“Saya terkejut melihat begitu ramai orang berkumpul,” katanya.

Ting bersetuju orang ramai sendiri perlu memainkan peranan supaya SOP dan norma baru itu tetap dipatuhi.

“Seluruh negara perlukan pemantauan dan keterlibatan orang ramai yang berterusan,” katanya.

“Sekiranya anda lihat seseorang di komuniti anda tidak ikut peraturan, anda mesti ingatkan. Beritahu mereka ia penting untuk dipatuhi, jangan biarkan begitu sahaja.

“Semua orang harus sedar tanggungjawab kita dan memainkan peranan untuk membendung penularan penyakit ini. Sikap kita terhadap pematuhan peraturan dan undang-undang akan mampu mengubah keadaan demi menyelamatkan keluarga dan masyarakat kita.”

Ting turut menasihati supaya punca kluster tertentu perlu dianalisis bagi menangani isu-isu yang timbul.

“Kita harus lihat bagaimana kita dapat bantu tingkatkan usaha pematuhan langkah-langkah keselamatan dalam kehidupan seharian,” katanya.

“Sekiranya mereka tidak ada kontak dengan orang yang berisiko tinggi, mereka mungkin terus berada di zon selesa. Cukup dengan satu orang saja yang tidak bertanggungjawab wujud dalam kalangan mereka, ia pasti akan jejaskan keselamatan mereka.”

Ting juga memberi amaran supaya masyarakat tidak berpada dan merasa puas hati dan seterusnya bersikap sambil lewa setelah menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Kementerian kesihatan menekankan berkali-kali vaksinasi hanya dapat mengurangi risiko komplikasi yang teruk, namun ia tidak dapat mencegah jangkitan.

“Langkah keselamatan masih harus dipatuhi setelah vaksinasi,” katanya.

Bagaimanapun, Ting masih meletakkan harapan tinggi bahkan terhadap yang didapati positif Covid-19.

“Sebilangan besar dari mereka tidak menunjukkan simptom,” katanya.

“Ini mungkin bererti semakin ramai orang sedar pentingnya jalani ujian jika mereka ragu-ragu dengan keadaan kesihatan diri.

“Saya percaya sekarang ini kebanyakan orang sudah terbiasa memakai topeng ketika keluar, menggunakan pembersih tangan dan menjaga jarak fizikal.”

Ting menambah, walaupun kepimpinan dalam masyarakat sangat penting, ia tidak mengurangkan peranan yang perlu diambil kepimpinan di peringkat kerajaan.

Pinky berkata SOP yang tidak konsisten dan tidak jelas banyak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Dasar-dasar terus berubah. Kejap mereka kata kita perlu minta permit, kemudian esok mereka tarik balik keputusan, kata ia tidak perlu pula. Jadi, yang mana kita perlu ikut?

“Bila mereka kata keadaan di Sarawak masih terkawal, ini sebetulnya menghairankan” tambahnya.

“Saya tak dapat lihat bagaimana keadaan sekarang boleh dikendalikan.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.