Kerajaan Sabah memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti rentas daerah sepanjang perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai 10 hingga 16 Mei ini kecuali atas urusan kecemasan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata dalam tempoh itu juga Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dikategorikan sebagai satu daerah.
“Pihak Polis Diraja Malaysia akan melaksanakan sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan rentas daerah semasa tempoh dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan malam semalam.
Sebelum ini, Sabah membenarkan aktiviti rentas daerah melibatkan enam zon di seluruh negeri.
Dalam pada itu, Masidi berkata, kerajaanSabah juga telah menggariskan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi sepanjang perayaan Aidilfitri bagi mengelak risiko penularan jangkitan Covid-19 di negeri ini.
Masidi berkata semua aktiviti perayaan di lokaliti dikenakan PKP diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan, begitu juga amalan takbir dari rumah ke rumah dan penganjuran sebarang majlis Hari Raya serta rumah terbuka.
Bagaimanapun, Masidi berkata, aktiviti takbir raya di masjid dan surau adalah dibenarkan termasuk jamuan selepas solat Hari Raya dengan syarat penyediaan makanan secara berbungkus serta diedarkan kepada para jemaah untuk dibawa pulang.
“Solat sunat Hari Raya di masjid dan surau juga dibenarkan mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri Sabah, manakala kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan golongan berisiko tinggi tidak dibenarkan,” katanya.
Katanya bagi ziarah tanah kubur turut dibenarkan tidak melebihi enam orang, had masa tidak melebihi 30 minit dan penjarakan fizikal.
Bagi aktiviti ziarah, Masidi berkata, ia dibenarkan dengan syarat hanya di kalangan ahli keluarga terdekat dengan tidak melebihi 20 orang, tinggal dalam lingkungan daerah sama dan tertakluk kepada saiz kapasiti rumah.
Sementara itu, Masidi berkata sebanyak 69 kes baharu dilaporkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif 58,580 kes, manakala seramai 141 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif adalah 57,387 orang.