- Iklan -
Berita

Selepas UPSR dimansuhkan, pusat tuisyen perlukan pendekatan baru

Sebahagian pengusaha pusat tuisyen berkata terlalu awal untuk meramal masa depan, sementara ada yang berkata pendekatan baru diperlukan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Susulan pemansuhan UPSR di sekolah rendah, pusat tuisyen dicadangkan mula membangunkan modul baru kerana pendekatan pendidikan berorientasikan peperiksaan sudah semakin berkurangan. Gambar: Bernama
Susulan pemansuhan UPSR di sekolah rendah, pusat tuisyen dicadangkan mula membangunkan modul baru kerana pendekatan pendidikan berorientasikan peperiksaan sudah semakin berkurangan. Gambar: Bernama

Sejak tiga tahun lepas, Laila Husna Kamarulzaman menghantar anaknya, Mohammad Humam Shah, ke pusat tuisyen di Pasir Tumboh, Kelantan bagi persediaan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Rutin mereka berhenti secara tiba-tiba bulan ini selepas pemansuhan UPSR diumumkan kementerian pendidikan bermula tahun ini.

Humam merupakan salah seorang daripada ribuan murid di seluruh negara yang menghabiskan masa menghadiri kelas tuisyen dengan harapan dapat memperoleh markah yang baik dalam peperiksaan awam tersebut.

Selepas pemansuhan UPSR, pusat tuisyen mungkin perlu terpaksa menilai semula pendekatan mereka di dalam kelas.

Jurucakap Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar berkata, kebanyakan ibu bapa mengeluarkan anak mereka dari kelas tuisyen berikutan pengumuman kerajaan tersebut.

Menurutnya, ibu bapa dari kawasan luar bandar didapati lebih banyak melakukan tindakan tersebut.

“Ibu bapa di kawasan ini masih mengaitkan pelajaran dengan peperiksaan,” katanya.

Huzaimi berkata berbanding ibu bapa di kawasan bandar, mereka masih meneruskan kelas tuisyen kerana mengutamakan pendidikan walaupun peperiksaan dimansuhkan.

Bagaimanapun secara umumnya, pusat tuisyen harus membangunkan modul baru kerana pendekatan pendidikan berorientasikan peperiksaan sudah semakin berkurangan, katanya.

“Modul ini mesti menumpukan kemahiran-kemahiran seperti membaca, mengira dan bahkan kemahiran seni.

“Sekolah akan mempunyai persekitaran pendidikan baru dan pusat tuisyen perlu sokong,” katanya.

Huzaimi mencadangakan pusat tuisyen memberikan tumpuan kepada satu segmen kepakaran mereka dan mengembangkannya dengan pendekatan tersendiri.

Pengendali pusat tuisyen Ilmu Studio Muhammad Azrin Ahmad Zahar pula berkata masih terlalu awal untuk mengulas mengenai nasib pusat tuisyen ketika ini walaupun UPSR dimansuhkan.

“Kami masih belum dapat melihat perkembangannya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Azrin mengakui ramai murid memilih untuk tidak mengikuti kelas tambahan ketika ini, namun mengaitkannya dengan penutupan sekolah tahun lalu.

“Kebanyakan pusat tuisyen hadapi masalah teruk, bukan kerana UPSR dihapuskan, tetapi kerana wabak itu,” katanya.

“Saya mempunyai empat cawangan di Lembah Klang sebelum wabak itu. Sekarang dua sudah ditutup.”

Ketika ditanya apakah pusat tuisyen akan tetap relevan pada masa akan datang, Azrin berkata perkara yang paling penting ketika ini adalah proses pembelajaran.

“Apa yang kami bimbang pelajar tidak akan ada persiapan sama sekali, atau lebih buruk mereka tolak untuk membaiki diri.”

Katanya, walaupun seseorang yang sudah berada di Tingkatan Tiga sekolah menengah, kebanyakannya masih tidak cukup matang untuk merancang kehidupan.

“Jika mereka diberi kebebasan untuk memilih antara belajar dan bermain, mereka akan memilih untuk main.

“Kami bimbang waktu belajar yang mereka gunakan ketika di pusat tuisyen diganti dengan sibuk bermain, misalnya.”

Buat masa ini, Azrin yakin pusat tuisyen akan terus bertahan.

“Ada pelajar yang datang pusat tuisyen semata-mata untuk peperiksaan sahaja, ramai juga yang datang kerana gemar cara guru kami jalankan sesi kelas.

“Ini adalah cara tidak formal untuk berkomunikasi dan mengajar sehingga para pelajar mudah mengikuti pembelajaran mereka.”

Perubahan dalam pendidikan yang turut terkesan dengan peralihan dari dunia bersemuka kepada dalam talian, katanya pusat tuisyen mungkin boleh memanfaatkan situasi ini dan menarik pelajar walaupun dari negeri lain.

Bagi Laila, langkah memansuhkan UPSR akan memberi lebih banyak ruang kepada anaknya untuk memberi tumpuan kepada kegiatan kokurikulum.

Humam gemar bersukan dan dengan UPSR yang tidak lagi perlu didudukinya, Laila berharap anaknya mempunyai masa untuk mengembangkan kemahirannya dalam bidang itu.

“Bukannya kita nak dia tinggalkan akademik.

“Tetapi penekanan pada pencapaian akademik tidak seberat seperti sebelum ini,” kata Laila kepada MalaysiaNow.

Laila berkata akan terus menghantar seorang lagi anak lelakinya berusia 10 tahun ke kelas tuisyen kerana ingin memastikan anaknya itu dapat mengejar mata pelajaran yang menjadi silibus di sekolah.

Walaupun UPSR dimansuhkan, Huzaimi sedar peperiksaan awam lain masih dikekalkan seperti Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM di Tingkatan Lima.

“Sekiranya ibu bapa mahu anak-anak mereka cemerlang dalam SPM, mereka mesti bermula lebih awal dan tidak hanya tergesa-gesa hanya apabila anak-anak mereka sudah memasuki Tingkatan Lima,” katanya.

“Akan sukar bagi pelajar untuk mengikuti pelajaran jika mereka terus santai dan senang hati kerana UPSR atau PT3 sudah dibatalkan.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.