- Iklan -
Berita

Pinjaman jangka panjang pembeli rumah B40 timbulkan kebimbangan

Pemain industri berkata pinjaman jangka panjang boleh memberi tekanan kewangan kepada pembeli selain risiko menjadi beban beberapa generasi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Memiliki rumah sendiri yang selesa adalah antara impian yang sukar dibayangkan golongan B40 di Malaysia. Inisiatif yang dapat membantu golongan ini memiliki rumah perlu difikirkan demi kelestarian hidup mereka.
Memiliki rumah sendiri yang selesa adalah antara impian yang sukar dibayangkan golongan B40 di Malaysia. Inisiatif yang dapat membantu golongan ini memiliki rumah perlu difikirkan demi kelestarian hidup mereka.

Kebimbangan mula disuarakan mengenai kemampuan golongan B40 untuk membiayai pinjaman jangka panjang pembelian rumah bagi mengatasi lambakan hartanah dalam negara yang tidak terjual dalam negara seperti diumumkan Bank Negara.

Perumahan dengan harga berpatutan sudah lama menjadi masalah terutama bagi mereka yang berada di Lembah Klang sehingga mendorong Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menggesa pemaju perumahan untuk menumpukan perhatian kepada projek yang berharga di bawah RM500,000.

Bagaimanapun, dengan harga RM500,000, ia masih dianggap sukar untuk dimiliki ramai tambahan pula semakin ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 lebih-lebih lagi dalam sektor perniagaan dan ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Hi Home Radzi Tajuddin berkata pembeli rumah dari golongan B40 tidak seharusnya dibebani hutang jangka panjang.

“Sebilangan besar mereka tidak celik hal-hal kewangan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bayaran balik bulanan mungkin murah, tetapi melanjutkan tempoh pinjaman bermaksud membayar lebih banyak faedah.”

Beliau memetik inisiatif Better Malaysia Foundation yang mendesak kerajaan untuk melaksanakan inisiatif strategik bagi bank dan institusi kewangan untuk menyediakan pembiayaan 100% untuk pembeli rumah B40 dengan pinjaman jangka panjang dua generasi antara 40 dan 60 tahun.

Bagaimanapun, Radzi mencadangkan agar kerajaan meneruskan tempoh hutang dalam jangka masa 30 hingga 35 tahun walaupun beliau memuji cadangan yayasan itu agar unit-unit hartanah dibahagi kepada dua bahagian yang terpisah.

“Keluarga B40 yang tinggal di unit itu boleh menyewakan satu atau dua bilik kepada penyewa,” katanya.

“Ini dapat menghasilkan pendapatan tambahan untuk keluarga, dan mereka boleh menggunakannya untuk membayar komitmen bulanan.”

Beliau turut mendesak kerajaan untuk memungut cukai kekosongan daripada pemaju bagi unit-unit rumah yang tidak terjual setelah jangka waktu tertentu.

Katanya dengan cara itu, tekanan dapat diberikan kepada pemaju supaya mereka menurunkan harga hartanah.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata pembiayaan 100% yang disokong kerajaan bagi pembeli rumah B40 melalui pinjaman perumahan dua generasi boleh menyebabkan mereka menghadapi lebih banyak tekanan kewangan.

“Dari perspektif pembuat dasar, saya bimbang dengan pinjaman jangka panjang, kerana ia memiliki risiko besar dari segi kestabilan kewangan, dan boleh menyebabkan krisis besar,” katanya.

Carmelo yang juga merupakan felo kanan badan pemikir Institut for Democracy and Economic Affairs berkata dasar-dasar kewangan yang menyasarkan pembeli rumah yang tidak mempunyai kemampuan membayar balik pinjaman mereka menjadi faktor utama berlakunya krisis gadai janji subprima sepanjang 2007-2008 di Amerika Syarikat dan Eropah.

“Pinjaman ini akan menjadi diwarisi oleh beberapa generasi, mengumpulkan hutang tambahan terhadap keluarga dan anak-anak mereka yang mengalami masalah kewangan,” katanya dan menambah ia akan menjadi bukti awal yang tidak baik dalam hal ehwal pengurusan hutang isi rumah.

Sebaliknya, Carmelo mencadangkan kaedah sewaan yang dijamin kerajaan.

Kerajaan dilantik sebagai penjamin bayaran dan sewa untuk pemaju atau pemilik hartanah.

Sebagai pertukaran, katanya, pemaju atau pemilik diminta memilih penyewa dari sekumpulan orang yang ditentukan agensi kerajaan.

 

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.