- Iklan -
Berita

Ratusan cedera dalam pertempuran terbaru Israel, Palestin

Wujud kebimbangan akan berlaku pertembungan lebih ganas menjelang perarakan pada Isnin oleh rakyat Israel.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan warga Palestin berlindung di kawasan Masjid Al-Aqsa di Jerusalem. Gambar: AP
Penunjuk perasaan warga Palestin berlindung di kawasan Masjid Al-Aqsa di Jerusalem. Gambar: AP

Ratusan dilaporkan cedera dalam pertempuran pada Isnin di Jerusalem antara rakyat Palestin dan pasukan keselamatan Israel di ambang perarakan ulang tahun kemenangan Israel atau dikenali sebagai Naksah oleh warga Palestin di kota itu.

Warga Palestin dilihat melontar batu ke arah pihak berkuasa Israel yang memakai peralatan anti rusuhan sementara pegawai Israel membalas dengan menembak peluru getah dan gas pemedih mata, kata seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

“Terdapat ratusan orang cedera akibat pertempuran itu” dan sekitar 50 orang lagi dimasukkan ke hospital, kata Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin susulan rusuhan terbaru sejak solat Jumaat terakhir Ramadan tahun ini minggu lalu.

Pertembungan tersebut adalah yang terbaru sejak 2017, ia juga turut dihangatkan dengan tindakan penjajah Israel sejak beberapa tahun lalu demi mengambil alih beberapa rumah penduduk Palestin yang terletak di kawasan timur Jerusalem.

Pendengaran mahkamah yang dijadualkan pada hari Isnin berhubung kejiranan Sheikh Jarrah, sebuah kawasan pertikaian di timur Jerusalem juga telah ditunda.

Ketika ini, wujud kebimbangan akan berlaku pertembungan ganas lebih dahsyat menjelang perarakan pada Isnin oleh rakyat Israel bagi memperingati pengambilalihan Jerusalem oleh Israel dalam Perang Enam Hari 1967.

Ulang tahun itu dikenali sebagai “Hari Jerusalem” di negara Yahudi sementara ia dikenali sebagai “Hari Naksah” bagi warga Palestin.

Polis Israel telah meluluskan perarakan tersebut pada Ahad. Ia yang dijadualkan bermula sekitar pukul 4 petang waktu tempatan.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Ahad turut mempertahankan tindak balas Israel terhadap tunjuk perasaan dan rusuhan tersebut.

“Kami akan menegakkan kedaulatan undang-undang dengan penuh tanggungjawab,” kata Netanyahu.

Beliau turut berjanji untuk “mempertahankan kebebasan melaksanakan ibadah bagi semua agama”.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.