Israel sekali lagi melancarkan serangan udara terhadap beberapa kawasan dipercayai markaz Hamas di Semenanjung Gaza selepas beberapa roket dilancarkan dari kawasan itu ke arah Jerusalem.
Sekurang-kurangnya 20 orang awam terbunuh termasuk sembilan kanak-kanak dan seorang komander kanan Hamas.
65 yang lain turut dilaporkan cedera dalam serangan udara oleh Israel, semalam.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata Hamas melampaui batas apabila mengarahkan peluru berpandu ke arah Bailtulmaqdis menyebabkan negara Yahudi itu bertindak balas dengan kekuatan.
Netanyahu turut menambah pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan serangan di wilayah, ibu kota, warganegara dan tentera Israel sambil menambah serangan yang diterima Israel akan dibayar dengan harga yang tinggi.
Menurutnya persiapan untuk pelbagai senario sudah dilaksanakan termasuk serangan menyasarkan dua pelancar roket, dua pos tentera, sebuah terowong dan lapan operasi Hamas di Gaza.
Sementara itu, Hamas yang menguasai Tebing Gaza mengingatkan Israel untuk menarik semua tenteranya dari pekarangan masjid dan daerah Sheikh Jarrah.
Jurucakapnya berkata serangan roket itu adalah sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel di Sheikh Jarrah dan di sekitar Masjid Al-Aqsa.
“Ini adalah pesanan yang harus difahami musuh dengan baik, jika anda bertindak balas, kami akan bertindak balas dan jika anda tingkatkan serangan, kami juga akan tingkatkan serangan,” katanya.
Keganasan meletus menjelang perarakan memperingati pengambilalihan Baitulmaqdis dalam Perang Enam Hari 1967, hari yang sama turut diingati warga Palestin sebagai Naksah 1967 menandakan bermulanya penjajahan Israel yang lebih meluas di negara itu.