- Iklan -
Berita

Trend kes Covid-19 di Shah Alam membimbangkan ketika Selangor kekal rekod jangkitan tertinggi

Selangor merekodkan kes lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur yang memiliki kepadatan penduduk yang lebih tinggi.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Statistik pengesanan kontak direkodkan Putrajaya melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan situasi wabak Covid-19 yang membimbangkan di Shah Alam, Selangor, negeri yang terus kekal mencatat kes harian tertinggi dalam negara.

Setakat hari ini, sejumlah 941 kes direkodkan berasal dari 27 seksyen di ibu negeri Selangor tersebut.

Seksyen 19 dan 23 yang memiliki populasi padat dengan kawasan perindustrian dan bandar komersial selain kawasan perumahannya merekodkan 212 kes sejak dua minggu lalu.

Kawasan-kawasan lain turut menunjukkan statistik membimbangkan termasuk Seksyen 10 dengan 66 kes, Sekyen 11 (55) dan Seksyen 12 (52).

Peningkatan kes di Shah Alam menunjukkan situasi keseluruhan Covid-19 di Selangor yang mendominasi angka jangkitan harian seluruh negara.

Negeri itu mencatatkan lebih dua pertiga 4,140 kes baru hari ini.

Peningkatan kes di Selangor turut menarik kritikan terhadap pasukan tindakan Covid-19 yang diketuai bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad yang dilihat menyalahkan kerajaan pusat berhubung kenaikan kes di negeri itu melalui media sosial.

Ketika Dzulkefly menyalahkan kegagalan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) selain ujian besar-besaran yang dilaksanakan di negeri itu, Exco Kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud pula mempertahankan kerajaan negeri berhubung dakwaan langkah pengesanan kontak di Selangor gagal beroperasi.

“Contact tracing (pengesanan kontak) adalah kerja KKM bukan kerajaan Selangor,” katanya dalam sebuah ciapan di Twitter susulan kritikan dan kecaman orang ramai.

Pada Februari lalu, MalaysiaNow mendedahkan beberapa kelemahan aplikasi SELangkah yang dilancarkan kerajaan Selangor, sebuah aplikasi yang dipromosikan secara besar-besaran ketika tahap awal pandemik Covid-19 diumumkan dalam negara.

Aplikasi tersebut turut dipertikaikan susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu berbanding jirannya, Kuala Lumpur yang memiliki penduduk yang lebih padat.

Pendedahan berhubung aplikasi SELangkah turut menimbulkan ketidaksenangan Dzulkefly yang mendakwa Putrajaya melewatkan pengesanan kontak automatik di negeri itu.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika dihubungi berharap PKP yang dilaksanakan ketika ini dapat melandaikan keluk Covid-19.

“Kami berharap intervensi PKP 3.0 akan dapat mengawal peningkatan kes sekali gus mengurangkan jangkitan,” katanya kepada MalaysiaNow.

*Farhira Farudin turut menyumbang kepada laporan ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.