- Iklan -
Berita

Hadi Awang gesa kerajaan Islam dunia bangkit sokong perjuangan Palestin

Sementara Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mewajibkan semua peringkat partinya menggerakkan usaha bagi mengutip sumbangan untuk Palestin.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS merangkap duta khas perdana menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang. Gambar: Bernama
Presiden PAS merangkap duta khas perdana menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang. Gambar: Bernama

Duta khas perdana menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang berharap kerajaan Islam dunia bangkit secara proaktif mendukung perjuangan Palestin dalam mempertahankan kedaulatannya dan menentang rejim Zionis Israel.

Beliau berkata dalam keadaan sekarang, masyarakat Muslim dunia sepatutnya bersama-sama mendukung kebangkitan rakyat Palestin yang sudah bersatu bukan sahaja di seluruh bumi Palestin malah di Israel.

“Orang-Orang Arab Palestin daripada Muslim dan Kristian sama-sama bangkit. Kita sangat gembira kerana rakyat Arab di sekeliling Palestin mendukung dengan semangat yang kuat.

“Zionis Israel tersilap langkah seperti mengusik sarang tebuan dengan menceroboh kawasan Sheikh Jarrah, menghalau penduduk Palestin dari rumah mereka untuk didiami pendatang Yahudi serta menceroboh Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama bertajuk Pembebasan Palestin: Perjuangan Tanpa Noktah pada Majlis Pelancaran Kempen #Aid4Palestine secara dalam talian malam tadi yang turut disertai Imam Besar Masjid Al-Aqsa Dr Sheikh Ekrima Said Sabri.

Kempen itu, yang digerakkan Sekretariat #Aid4Palestine di bawah pejabat duta khas perdana menteri ke Timur Tengah, hasil kerjasama lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta yang akan disalurkan terus ke Palestin.

Sumbangan secara pendanaan awam itu boleh disalurkan melalui NGO Muslim Care Malaysia (Maybank: 5644-9021-1159), Tabung Palestin-Amal Malaysia (Bank Islam: 13053010006474) dan Cakna Palestin (Maybank: 5530-3803-3881).

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim Zionis Israel kali ini ke atas rakyat Palestin bermula dengan serangan di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lepas di mana sehingga kini, dilaporkan lebih 119 rakyat Palestin terkorban manakala beratus-ratus lagi cedera.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, dalam satu kenyataan, mewajibkan semua peringkat partinya menggerakkan usaha bagi mengutip sumbangan untuk dana itu.

Sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan Palestin juga, beliau berkata parti itu turut mewajibkan setiap premis milik PAS untuk menaikkan bendera Palestin selain menggalakkan premis lain berbuat demikian.