- Iklan -
Berita

Didik anak muda politik menjangkaui tokoh, individu, kata Undi18

Jika ia tidak dilakukan, sukar meyakinkan generasi muda untuk turut serta terlibat dalam politik walaupun usia mengundi diturunkan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Penyertaan belia dalam politik negara adalah sangat penting kerana golongan itu adalah harapan masa depan negara. Gambar: Bernama
Penyertaan belia dalam politik negara adalah sangat penting kerana golongan itu adalah harapan masa depan negara. Gambar: Bernama

Gerakan Undi18 menyalahkan pandangan sempit mengenai politik susulan tinjauan mendapati wujud sikap tidak peduli dalam kalangan generasi muda mengenai hal ehwal kenegaraan dan turut mengingatkan sikap itu akan menyukarkan usaha untuk melibatkan penyertaan belia dalam proses demokrasi Malaysia.

Pengasas Undi18 P Tharma berkata sistem pendidikan tidak membiasakan penerapan nilai-nilai demokratik atau menumpukan pemahaman mengenai pentadbiran sehingga menyebabkan ramai dalam kalangan belia percaya politik adalah hanya seputar isu memilih pemimpin atau parti politik yang digemari mereka.

“Namun politik lebih besar daripada itu, ia adalah berkaitan bagaimana cara kita menjalani kehidupan,” katanya.

“Bagi kebanyakan belia di Malaysia, politik kelihatan seakan persengketaan ego untuk berkuasa antara ahli politik yang tidak peduli dengan nasib rakyat. Hal inilah menimbulkan rasa tidak peduli dalam kalangan mereka.”

Satu tinjauan Merdeka Center baru-baru ini mendapati lebih dari dua pertiga belia yang menjadi responden tidak berminat untuk terlibat dalam politik.

Alasan yang diberikan termasuk sifat politik dan pentadbiran kerajaan yang dianggap “rumit” selain ramai yang mengatakan mereka “tidak dapat memahami apa yang sedang berlaku (dalam politik negara) ketika ini”.

Sejumlah responden yang lain turut menolak ahli politik mengatakan golongan itu “tidak peduli dengan pandangan orang seperti saya”.

Penemuan tersebut tersebut didedahkan ketika penundaan pelaksanaan langkah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun diumumkan Suruhanjara Pilihan Raya (SPR) Mac lalu.

Keputusan untuk menurunkan had umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun itu diluluskan di Dewan Rakyat pada bulan Julai 2019 selain pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik dan membenarkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas bertanding dalam pilihan raya.

Sebelum ini, pelaksanaan undang-undang baru itu dijangka akan dimulakan pada Julai tahun ini.

Bagaimanapun, SPR berkata pelaksanaannya hanya akan dapat dikuatkuasakan selepas 1 September 2022.

Berikutan kecaman daripada beberapa pihak termasuk ahli politik, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan berkata pelaksanaan had undi 18 tahun akan dilaksanakan tahun ini seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Tharma berkata gerakan yang diusahakan beliau itu cuba berperanan menentang sebarang pandangan sempit berhubung penyertaan belia dalam politik termasuk kelayakan untuk mengundi pada usia 18 tahun.

“Kami sedang mengembangkan lebih banyak program pendidikan untuk meningkatkan kesedaran dan kecelikan politik dalam kalangan belia,” katanya.

Dia turut menggesa kementerian pendidikan dan pendidikan tinggi untuk memainkan peranan aktif dalam memastikan belia menjadi “warga Malaysia yang baik” dan bukan hanya sekadar “pandai mengira dan menulis”.

Ahli sosiologi Shatar Shabran bersetuju kekurangan pemahaman mengenai situasi politik adalah faktor utama timbulnya sikap tidak ambil peduli politik dalam kalangan remaja.

“Belia adalah golongan yang lebih idealistik,” katanya.

“Mereka mengharapkan sesuatu hal berjalan seperti apa yang mereka tahu dalam teori. Sebenarnya, banyak perkara perlu dipertimbangkan, terutama senario semasa, sebelum ahli politik membuat keputusan.”

Menurutnya, dalam politik, sukar untuk seorang ahli politik bermentaliti “satu ketetapan sesuai untuk semua perkara”.

“Sebagai contoh, apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) atau apa yang dilaksanakan di negara lain tidak semestinya sesuai sepenuhnya di Malaysia kerana budaya, masyarakat dan nilai yang berbeza.”

Katanya, minat dan penglibatan dalam politik perlu ditingkatkan dalam kalangan belia kerana mereka adalah pemimpin negara masa depan.

Namun, dia mengingatkan agar belia tidak hanya sekadar membentuk parti politik hanya kerana mereka tidak berpuas hati dengan parti sedia ada.

“Ini bermaksud satu kek dibahagikan kepada lebih banyak kumpulan. Lebih baik jika mereka berkerjasama atau berbincang dengan parti politik yang sedia ada.”

Dia berkata penglibatan seperti itu dapat dilakukan di platform media sosial untuk menarik perhatian para belia, dan bukannya seperti parti-parti yang masih bergantung dengan kaedah konvensional atau tradisional dalam menarik perhatian orang ramai.

“Agenda tidak sepatutnya hanya untuk individu atau kelompok tertentu, tetapi ia harus memastikan masyarakat dan negara pada umumnya menjadi semakin baik di masa depan.”

Dalam pada itu, Tharma berkata akses media sosial membolehkan lebih ramai belia Malaysia mendapat maklumat mengenai isu semasa.

Namun, katanya, cabaran yang perlu hadapi ketika ini adalah untuk merapatkan jurang antara isu-isu yang berlaku dalam negara dan persepsi belia terhadap politik yang terlalu jauh terpisah.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.