Negara-negara Islam menggesa Israel menghentikan serangannya ke atas Gaza namun wujud juga kutukan terhadap beberapa negara yang baru-baru ini mengiktiraf kedaulatan Israel.
Sebuah kenyataan yang dikeluarkan 57 buah negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) masih mengekalkan suara kenyataan yang dikeluarkan negara-negara sekutu Arab Saudi termasuk gesaan menuntut hak kemerdekaan negara warga Palestin dan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.
Minggu lalu, Israel melancarkan serangan ganas ke atas wilayah Palestin, serangan terbesar sejak serangan ke atas Gaza pada 2014 yang menyaksikan pejuang Palestin dan tentera Israel saling berbalas serangan di sepanjang kawasan persisiran semenanjung yang menempatkan hampir dua juta warganya.
“Perjuangan rakyat Palestin adalah luka berdarah dunia Islam hari ini,” kata Menteri Luar Afghanistan Mohammad Haneef Atmar.
Bagaimanapun, laporan AP berkata beberapa rundingan normalisasi antara Israel dan beberapa negara Islam telah menimbulkan kritikan dalam kalangan negara-negara anggota OIC.
Delegasi OIC turut menghalakan kecaman terhadap Bahrain, Maghribi, Sudan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Negara-negara tersebut mencapai normalisasi dalam hubungannya dengan Israel apabila mereka mengiktiraf Israel dan kini berusaha untuk merapatkan hubungan mereka dengan wilayah kontroversi.
Penyokong Palestin turut mengkritik negara-negara tersebut kerana mengiktiraf Israel sekali gus dilihat meninggalkan perjuangan penubuhan negara Palestin yang merdeka.
Menteri luar Turki turut menyuarakan bantahannya terhadap usaha normalisasi negara-negara di Timur Tengah ketika Israel masih mengekalkan hubungan diplomatik dengan Ankara.
“Ada beberapa negara telah kehilangan moral kompas mereka dan menyuarakan sokongan terhadap Israel,” katanya.
“Jika ada kenyataan yang tidak betul-betul ikhlas dalam kalangan keluarga kita, bagaimana kita mahu mengkritik orang lain? Siapa yang akan hormat dengan kata-kata kita?”
Bagaimanapun, Hamas yang menguasai Gaza pada 2007 tidak menyertai telesidang bersama beberapa negara Islam tersebut.
Di negara-negara semenanjung Arab, reaksi terhadap serangan ke atas Gaza itu dilihat bercampur-baur.
Di Qatar misalnya, yang menjadi tempat agensi media Al-Jazeera berpangkalan, ratusan orang dilihat menyaksikan ucapan pemimpin Gaza, Ismail Haniyeh pada Sabtu lalu.
Speaker Parlimen Kuwait turut dilaporkan berhubung dengan Haniyeh pada Sabtu selain menteri luar Qatar.
Dalam pada itu, di Bahrain dan UAE, media kerajaan dilihat tidak banyak melaporkan keganasan yang berlaku di Palestin berbanding media-media swasta lain di negara itu.
Beberapa kumpulan masyarakat sivil Bahrain juga dilaporkan mengeluarkan surat bersama menggesa kerajaannya untuk menghalau duta Israel di negara itu.
Di UAE, negara yang mengharamkan parti politik dan tunjuk perasaan, warga Palestin menunjukkan kemarahan mereka secara senyap kerana bimbang permit mereka dirampas.
Hussein Ibish seorang ahli akademik kanan yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat berkata kebanyakan pemimpin negara-negara Teluk takut dengan roket Hamas dan menyifatkannya sebagai “sinis, merbahaya, dan provokatif terhadap Israel dan rakyat Palestin”.