- Iklan -
Berita

Rayuan Najib berhubung sabitan bersalah kes SRC International selesai

Panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak bercakap kepada media selepas proses rayuannya selesai. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak bercakap kepada media selepas proses rayuannya selesai. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusannya selepas selesai mendengar rayuan Najib Razak berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang berlangsung selama 15 hari.

Panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Turut bersidang Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membuat kajian dengan penuh teliti. Ia adalah satu rayuan yang memakan masa agak lama berbanding kes rayuan yang lain.

“Memandangkan rayuan ini melibatkan isu dan perkara yang amat penting seperti yang dihujahkan oleh kedua-dua pihak, kami memerlukan masa untuk membuat pertimbangan bagi membuat keputusan terhadap rayuan ini,” kata Karim.

Terdahulu, peguam Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram menamatkan hujah masing-masing dalam prosiding rayuan itu.

Pada asalnya, rayuan bekas perdana menteri itu ditetapkan untuk pendengaran selama 12 hari bermula 5 hingga 8 April, 12 hingga 15 April dan 19 hingga 22 April namun atas permohonan pembelaan, panel tersebut memutuskan untuk melanjutkan prosiding dari 27 hingga 28 April serta 6 Mei lepas.

Bagaimanapun, pendengaran yang dijadualkan pada 6 Mei ditangguhkan sehingga hari ini selepas seorang peguam dalam pasukan pembelaan terpaksa menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat beberapa individu yang positif Covid-19.

Najib mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Hakim Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap pertuduhan CBT dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga pertuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Ahli Parlimen Pekan itu kini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.