- Iklan -
Berita

Larang pelihara janggut, anggota saman Angkatan Laut AS

Peraturan yang memaksa anggota mengabaikan kewajipan keagamaan mereka dilihat sebagai pelanggaran peruntukan Perlembagaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Larangan memelihara janggut dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat dianggap melanggar hak beragama yang termaktub dalam Perlembagaan. Gambar: AP
Larangan memelihara janggut dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat dianggap melanggar hak beragama yang termaktub dalam Perlembagaan. Gambar: AP

Empat anggota tentera laut memfailkan saman terhadap Angkatan Laut Amerika Syarikat (AS) bagi menghentikan paksaan supaya mereka mencukur janggut kerana ia dianggap melanggar hak kebebasan beragama, lapor UPI.

Tiga daripada mereka, seorang Yahudi dan dua Muslim dilaporkan telah dinafikan hak untuk memelihara janggut yang dijaga rapi atau sebelum ini dibenarkan namun kebenaran itu kemudiannya dibatalkan, kata saman tuntutan tersebut.

Anggota keempat yang beragama Islam menderita penyakit pseudofolliculitis barbae atau “benjolah pisau cukur”, dia perlu memelihara janggut kerana alasan perubatan namun diwajibkan untuk bercukur setiap 30 hari bagi membuktikan bahawa dia masih menghidap penyakit yang menyakitkan wajahnya ketika mencukur.

Tuntutan tersebut menuduh angkatan ketenteraan itu melanggar hak perlembagaan yang memperuntukkan kebebasan beragama dan kebebasan bersuara.

Kebanyakan anggota Angkatan Laut AS menolak pandangan janggut boleh mengganggu tugas-tugas mereka, terutama ketika mereka harus memakai topeng gas atau peralatan serupa.

Mereka juga berkata angkatan tentera darat dan udara negara itu turut membenarkan anggota pasukannya untuk memelihara janggut atas alasan keagamaan seperti pasukan tentera lain di seluruh dunia termasuk UK, Kanada, Israel, Australia , New Zealand dan India. Menurut mereka tidak ada alasan untuk hak mereka beragama dinafikan.

Ketiga-tiga plaintif Muslim tersebut adalah penganut Islam yang taat, ekoran itu mereka diwajibkan untuk memelihara janggut.

Dalam pada itu, Angkatan Laut AS bersetuju untuk tidak menguatkuasakan perintah mencukur ke atas empat anggota tersebut ketika ini.

Penasihat Kanan The Becket Fund for Religious Liberty, Eric Baxter yang mewakili kesemua plaintif berkata penyakit “benjolah pisau cukur” sering dihidapi lelaki Amerika berketurunan Afrika.

“Tentera laut menekan klien kami dan beberapa anggota lain untuk menjalani penyingkiran rambut laser atau langkah-langkah lain yang ekstrem bertujuan melarang mereka untuk  memelihara janggut, ia merupakan penghinaan terhadap agama,” katanya.