Kerajaan Bangladesh meletakkan kem pelarian Rohingya di tenggara negara itu di bawah perintah berkurung selepas peningkatan kes jangkitan Covid-19 sejak beberapa hari lalu.
Sekatan itu melarang himpunan dan pergerakan antara kem-kem pelarian yang menempatkan lebih dari 100,000 pelarian Rohingya, kata Wakil Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Shamsud Douza kepada AFP.
“Kami mengenakan sekatan mulai hari ini selepas lonjakan mendadak kes Covid-19 di lima kem berkenaan,” katanya.
Pihak berkuasa Bangladesh mendirikan 34 kem pelarian di daerah tenggara Cox’s Bazar untuk 900,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.
Kesemua pelarian itu termasuk sejumlah 740,000 pelarian yang melarikan diri dari operasi ketenteraan Myanmar pada Ogos 2017.
Douza berkata pekerja kebajikan dan kemanusiaan tidak dibenarkan berada di kem dan hanya sejumlah petugas kesihatan, makanan dan pengedaran gas sahaja yang dibenarkan masuk.
Rabu lalu, Penyelaras Kesihatan Tempatan, Toha Bhuiyan berkata Rabu seramai 45 pelarian Rohingya didapati positif Covid-19 dari 247 orang yang diuji dan angka sama juga turut diuji positif semalam.
“Sehubungan itu kesemua lima kem diarahkan untuk perintah berkurung,” katanya.
Petugas kesihatan turut berkata jumlah kes turut meningkat dalam kalangan penduduk Bangladesh di Teknaf, yang mendorong pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung di bandar sempadan di selatan itu.
Bangladesh melancarkan program vaksinasi Covid-19 pada Februari lalu dan kira-kira enam juta orang sudah menerima sama ada satu atau dua dos vaksin.
Bagaimanapun, program vaksinasi negara itu belum melibatkan pelarian Rohingya di kem-kem pelarian.