Putrajaya mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) yang sedang berkuatkuasa pada ketika ini akan diperketatkan, menyaksikan penambahan sekatan terhadap sektor ekonomi dan sosial disebabkan lonjakan kes jangkitan Covid-19 akhir-akhir ini, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Bagaimanapun menurut PMO, perincian mengenai sekatan tambahan ini akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob esok.
“Mengambil kira perbincangan dan penelitian dalam sidang khas pada hari ini, mesyuarat sebulat suara bersetuju mengetatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial,” kata PMO dalam satu kenyataan hari ini.
“Sidang Khas ini turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan Covid-19.”
Petang tadi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincangkan isu perintah PKP yang dilaksanakan di seluruh negara ketika ini, disebabkan lonjakan tinggi jangkitan Covid-19 sehingga mencecah lebih 6,000 kes sehari.
Hari ini, 6,493 lagi kes baru Covid-19 dicatatkan di Malaysia dengan 50 kematian.
Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi sebanyak 2,163 disusuli Kuala Lumpur (641), Sarawak (612), Kedah (434) dan Johor (406).
Menurut PMO, prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP 3.0 sebelum ini sudah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.
“Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baru yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang.”