Pengalaman berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lalu, membuatkan masyarakat di negeri Johor lebih tenang dalam mendepani kemungkinan PKP dilaksanakan sekali lagi secara menyeluruh.
Tinjauan Bernama di beberapa pasar raya dan kompleks beli belah sekitar daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Mersing petang semalam mendapati, aktiviti jual beli barangan keperluan harian berjalan lancar, dengan pembelian barangan dibuat berdasarkan keperluan sahaja.
Di Batu Pahat contohnya, kawasan perkarangan empat buah premis niaga yang ditinjau lengang dan tidak bersesak-sesak.
Jika terdapat pengunjung sekalipun, tidak kelihatan kehadiran kanak-kanak dan warga emas di premis berkenaan, sekali gus menyaksikan kadar pematuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) norma baru.
Di Mersing pula, tidak banyak kenderaan bersesak di jalan raya utama menuju ke pasar raya berdekatan untuk membeli barangan keperluan, meskipun terdapat ura-ura PKP menyeluruh dilaksanakan.
Pekerja swasta, Fatihah Shaarani, 29, yang ditemui berkata, beliau selesa membeli barangan asas hanya apabila keperluan di rumahnya habis.
“Sejak pandemik ini, saya juga lebih banyak membeli barang mentah seperti ayam dan ikan secara dalam talian, kerana lebih mudah dan dihantar terus ke rumah,” katanya.
Sementara itu, pekerja pasar raya di Johor Bahru yang hanya mahu dikenali sebagai Asyikin, 24, berkata, terdapat peningkatan bilangan pelanggan di tempat kerjanya hari ini , bagaimanapun tiada pembelian barangan dalam kuantiti besar, dilakukan orang ramai.
“Rasanya orang ramai sudah lebih bijak dalam merancang perbelanjaan mereka, kerana dalam tempoh PKP bukannya kita tidak boleh keluar rumah langsung,” katanya.
Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan memberi “signal” kerajaan akan membuat keputusan PKP menyeluruh, selepas mesyuarat antara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua menteri besar atau ketua menteri.