- Iklan -
Berita

Hanya 2 jam dibenarkan berada dalam premis peruncitan, pusat beli-belah

Prosedur operasi standard (SOP) yang dikemas kini bagi sektor perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran, susulan pengumuman pelaksanaan PKP 3.0 yang lebih ketat semalam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengunjung menunjukkan imbasan aplikasi MySejahtera sebelum dibenarkan masuk ke pusat beli-belah Pavillion, Kuala Lumpur.
Seorang pengunjung menunjukkan imbasan aplikasi MySejahtera sebelum dibenarkan masuk ke pusat beli-belah Pavillion, Kuala Lumpur.

Tempoh pelanggan boleh berada di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam, berkuat kuasa 25 Mei ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata itu antara prosedur operasi standard (SOP) yang dikemas kini bagi sektor perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran, susulan pengumuman pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat semalam.

Turut dikemas kini ialah waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Bagi kedai farmasi dan penjagaan diri pula, waktu operasi kekal dari 8 pagi hingga 10 malam kecuali yang tersenarai di bawah aktiviti yang tidak dibenarkan seperti spa, wellness dan perkhidmatan manicure dan pedicure,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata penambahbaikan lain yang dilaksanakan ialah mewajibkan had jumlah pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah dalam satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter per persegi.

Had kapasiti pekerja bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan kompleks beli-belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan pula ditetapkan sebanyak 60 peratus, katanya.

Bagi premis peruncitan yang tersenarai di bawah Sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh kementerian kesihatan (KKM), ia akan ditutup serta-merta selama tiga hari bagi tujuan sanitasi, katanya.

“Penambahbaikan dan sekatan tambahan ini akan berkuat kuasa pada 25 Mei ini di seluruh negara,” kata Nanta yang memohon pemain industri di bawah sektor perdagangan pengedaran memastikan pematuhan SOP tersebut oleh pekerja dan pelanggan.

“Pemilik-pemilik premis perniagaan juga hendaklah sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP sentiasa berada di tahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara,” katanya.

Nanta berkata kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) akan menggerakkan 2,262 pegawai penguat kuasa di seluruh negara untuk memastikan pematuhan SOP yang diperketatkan itu di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, restoran dan pengedaran.

“Penguatkuasa KPDNHEP juga akan bertindak memperhebat pemeriksaan premis-premis perniagaan termasuk pada hujung minggu dan hari cuti,” katanya.

Beliau menegaskan KPDNHEP sebagai antara agensi yang diperturunkan kuasa bagi menguatkuasakan PKP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun.

“Kementerian juga tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk menutup serta-merta mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi SOP PKP yang diperketatkan ini,” katanya.

Nanta berkata kerjasama semua pihak pada masa ini adalah amat penting bagi memastikan penularan Covid-19 dapat diatasi segera di samping dapat mengekalkan kelangsungan ekonomi negara.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui e-mel kepada [email protected]