- Iklan -
Berita

Rakyat Malaysia bantu warga Palestin dengan mata wang kripto

Bagaimanapun, setiap derma harus menunjukkan tahap ketelusan tertentu supaya ia dapat diiktiraf sebagai sumbangan yang sah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki mengibarkan bendera Palestin ketika melalui Jalan Tun Razak.Gencatan senjata antara Israel dan gerakan Hamas diumumkan selepas 11 hari pertempuran hingga mengakibatkan lebih 200 rakyat Palestin terkorban.
Seorang lelaki mengibarkan bendera Palestin ketika melalui Jalan Tun Razak.Gencatan senjata antara Israel dan gerakan Hamas diumumkan selepas 11 hari pertempuran hingga mengakibatkan lebih 200 rakyat Palestin terkorban.

Ketika sentimen global yang semakin meningkat dalam mendukung perjuangan rakyat Palestin, pengumpulan dana secara dalam talian juga turut tumbuh bagai cendawan selepas hujan bagi membantu dari sudut dana kewangan pembangunan semula wilayah konflik itu.

Salah satu kaedah popular bagi tujuan tersebut adalah dengan menggunakan mata wang kripto, sebuah mata wang virtual yang tidak dikaitkan dengan mana-mana autoriti perbankan pusat seperti mata wang konvensional.

Penggunaan mata wang digital bukanlah satu perkara yang baru kerana beberapa kumpulan di Palestin yang berjuang menentang Israel telah pun menggunakan pelbagai kaedah untuk mengumpul dana melalui bitcoin walaupun wujud kekangan lantaran larangan pemindahan wang ekoran kumpulan-kumpulan itu dianggap sebagai gerakan pengganas.

Untuk tujuan tersebut, baru-baru ini, mata wang kripto Save Palestine (PAL) telah dilancarkan bagi mengumpul derma bantuan kepada Palestin.

PAL membenarkan pembelian token dalam masa yang sama turut menderma demi perjuangan rakyat Palestin. Pembeli akan mendapat mata wang kripto mereka dan boleh menukarnya di Binance, sebuah perkhidmatan tukaran mata wang sebelum ia dapat ditukar semula kepada mata wang konvensional seperti dolar atau ringgit.

Derma-derma tersebut akan dipindahkan kepada beberapa penerima setiap minggu berdasarkan pasaran modal mata wang tersebut.

Pemain industri mata wang kripto Ahmad Alif AS Ahmad Shariffuddin berkata mata wang kripto tersebut perlu menunjukkan tahap ketelusan tertentu supaya ia dapat disahkan sebagai sumbangan derma.

“Ketika sesebuah mata wang diperkenalkan, ia mesti memiliki tujuannya yang tersendiri. Jika ia untuk sumbangan derma, makan orang ramai perlu membeli token itu untuk menderma, dengan maksud lain pengasasnya sendiri akan mendapat wang tersebut.

“Pasukan yang berada di belakang usaha itu pula perlua menunjukkan kesemua wang yang mereka perolehi disalurkan kepada penerima-penerima dengan menggunakan teknologo ‘blockchain’. Mereka perlu tunjukkan alamat asal sumber wang (wallet) supaya orang ramai boleh tengok sendiri ke mana wang mereka bergerak,” katanya kepada MalaysiaNow sambil menambah amaun yang dipindahkan kepada penerima mesti sama nilai dengan amaun token yang dijual.

Untuk memberikan nilai kepada token tersebut, Aliff berkata mata wang kripto biasanya akan disokong dengan unjuran sepanjang waktu permulaan tawaran. Orang ramai kemudian akan membeli token tersebut dengan harapan nilainya akan meningkat.

Dalam kata lain, satu mata wang diperkenalkan bagi tujuan kebajikan tidak akan memiliki nilai sama sekali, katanya.

“Token yang dibeli penderma adalah sekadar ‘resit’ sumbangan. Mereka yang memperkenalkannya tidak boleh spekulasi atau menaikkan harapan bahawa token itu akan bertambah nilai dan penderma akan mendapat untung dalam jangka masa panjang, dan itu maknanya bukanlah derma lagi,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata seorang pengasas perlu mendedahkan diri mereka sebagai pihak yang bertanggungjawab bagi derma dan token tersebut selain turut mengumumkan berapa jumlah yang telah dikumpulkan.

Ketika dihubungi, pengasas bersama matawang kripto PAL Radzi Tajuddin berkata inisiatif untuk membantu rakyat Palestin itu adalah sah.

Beliau dan beberapa temannya yang juga usahawan digital melancarkan PAL minggu lalu ketika konflik Israel-Hamas berada di tahap kemuncaknya.

Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman juga adalah antara mereka yang membeli mata wang tersebut dengan berkata ia membelinya bagi menderma kepada rakyat Palestin.

“Secara asasnya, kami mahu sasarkan komuniti mata wang kripto yang sedang berkembang,” kata Radzi.

“Sudah ada beberapa organiasi yang turut mengumpulkan derma darippada mereka yang memiliki wang, namun masih tidak ada orang yang mengumpul derma daripada mereka yang memiliki wang kripto.”

Menjelaskan mekasnisme PAL, beliau berkata ia berfungi sama seperti mata wang biasa, nilainya bertambah dengan keyakinan yang diletakkan orang ramai kepadanya.

“Nilainya akan bertambah apabila semakin ramai yang membeli mata wang itu. Dengan bekalan token, kami menyimpan 30% untuk derma kepada rakyat Palestin. Sementara 40% lagi akan diberi kepada pembeli dan 10% dikhususkan untuk mengawal bekalan token.

“Untuk hari Jumaat sahaja, nilai RM50,000 sudah dikumpulkan melalui mata wang itu,” katanya sambil menambah mata wang kripyo boleh ditukar kepada mata wang biasa oleh penerima.

Beliau turut menjadi semua sumbangan adalah telus kerana rantaian “blockchain” adalah sebuah lejar awam.

“Jika kita hantar sumbangan melalui transaksi bank, biasanya kita akan tunjukkan bukti transaksi dengan tangkap layar resit. dengan teknologi ini orang ramai akan tengok sendiri alamat ke mana dumbangan derma diserahkan. Pasukan kami tak ambil satu sen pun, kami juga tak buat untung.”

Beliau menambah keputusan beliau untuk mendedahkan identitinya sebagai pengasas bersama akan bagi memastikan ketelusan dan menambah keyakinan awam susulan peningkatan “shitcoin” dalam pasaran.

Shitcoin adalah istilah yang digunakan terhadap mata wang atau token yang tidak memiliki tujuan tertentu, pengasasnya juga tidak dikenali seperti Dogecoin dan Shiba Inu coin.

“Pengasas shitcoin ini orang tak kenal. Mereka turut simpan sebahagian bekalan token untuk diri mereka, tunggu supaya nilainya naik dan kemudian jual untuk dapatkan keuntungan,” kata Radzi.