Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah menasihatkan kerajaan negeri Sarawak agar terus berfungsi seperti biasa biarpun tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu tamat selepas 6 Jun ini.
Baginda bertitah kerajaan negeri itu boleh terus berfungsi seperti biasa sepanjang tempoh darurat yang diperkenankan baginda melalui pengisytiharan yang berkuat kuasa 11 Januari lepas hingga 1 Ogos ini.
“Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah menasihati memandang kepada keadaan Covid-19 yang agak membimbangkan agar kerajaan negeri berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini.
Nasihat baginda itu diberikan semasa upacara mengadap secara maya (persidangan video) oleh pemimpin-pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg bagi memaklumkan baginda mengenai tempoh DUN Sarawak dan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.
Abang Johari memaklumkan baginda tempoh DUN Sarawak adalah sehingga 6 Jun ini dan mengikut Perlembagaan Negeri itu, DUN haruslah dibubar dan pilihan raya perlu diadakan.
Menurut kenyataan itu, berikutan pengisytiharan darurat bermula 11 Jan lepas, kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
“Sejajar dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, YAB ketua menteri telah menyerahkan keputusan untuk membubarkan DUN Sarawak pada tarikh yang sesuai di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bersama TYT (Yang Dipertua) Negeri Sarawak,” katanya.
Keputusan itu akan dibuat setelah menerima nasihat daripada pihak peguam negara, SPR, kementerian kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
Sesi mengadap itu turut dihadiri timbalan ketua menteri I Amar Douglas Uggah Embas, timbalan ketua menteri II James Jemut Masing, timbalan ketua menteri III Amar Awang Tengah Ali Hassan, menteri kerajaan tempatan dan perumahan Sarawak Sim Kui Hian dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing.