- Iklan -
Berita

Sudah masanya Tajuddin dipecat dari Prasarana

Tajuddin Abdul Rahman adalah liabiliti, bukan sahaja kepada Prasarana bahkan kepada kerajaan yang melantiknya.

Abdar Rahman Koya
2 minit bacaan
Kongsi

Satu ciri utama negara yang berada di bawah perintah darurat ialah tidak ada ruang untuk perkara yang merapu dan membuang masa.

Jadi, apabila darurat Covid-19 diisytiharkan pada Januari lalu bagi membendung pandemik, kita dengan segera memberikan fokus kepada kerja-kerja utama, dari retorik politik dan demokrasi kepada usaha sebenar melawan musuh yang tak dapat kita lihat yang mengorbankan lebih 2,000 nyawa orang tersayang dalam kalangan keluarga kita di Malaysia.

Hari ini, bising yang dibunyikan bekas perdana menteri terkait rasuah mengenai pentadbiran yang baik sehinggalah orang yang terlalu ingin menjadi perdana menteri mengenai keadilan sudah disenyapkan dengan langkah-langkah untuk membendung pandemik.

Kerana hanya dengan tindakan-tindakan ini sahaja yang boleh menjustifikasi keperluan untuk menunda status maksum yang diberikan segelintir daripada kita terhadap konsep demokrasi.

Dalam peperangan, banyak perkara menjadi satu kemewahan yang tak mampu kita miliki.

Samalah juga halnya tentang tragedi yang terjadi melibatkan hidup dan mati.

Tidak ada ruang kepada sikap angkuh dan bodoh ini.

Apabila lebih dari 200 orang cedera, dan kebanyakan daripada mereka parah dalam kemalangan tren LRT dua hari lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan segera menggesa siasatan penuh dijalankan.

“Saya memandang serius kemalangan ini dan telah mengarahkan kementerian pengangkutan dan Prasarana Malaysia Bhd untuk melakukan siasatan penuh untuk mengenal pasti punca kemalangan ini, dan tindakan yang tegas harus diambil dengan segera,” katanya.

Namun orang yang sepatutnya paling awal mengeluarkan kenyataan, Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman bukan sahaja lembab memberikan respons bahkan menunjukkan sikap yang dilihat semacam menghina dan tidak sopan semasa sidang media semalam.

Antara lain, dia juga dilihat menghina wartawan asing dan membuat lawak bodoh mengenai dua tren “bercium”.

Dalam sebuah negara bertamadun, seseorang yang berada di posisinya akan meletakkan jawatan walaupun tidak memberikan ulasan yang seperti tidak berakal itu.

Kita boleh bayangkan rasa malu yang terpaksa ditanggung pengurusan Prasarana dan ribuan pekerja syarikat itu – yang bekerja keras setiap hari demi memastikan keselamatan jutaan penumpang – kerana memiliki orang seperti Tajuddin memimpin syarikat.

Mana-mana pegawai yang perlu memberikan jawapan kepada persoalan awam mengenai kemalangan tren LRT itu mungkin akan merasa meluat dengan klip video Tajuddin dalam sidang medianya yang kini tular di media sosial mengundang kecaman rakyat Malaysia.

Jelas sekali Tajuddin adalah liabiliti bukan sahaja kepada Prasarana, tetapi juga kepada kerajaan yang melantiknya sebagai pengerusi syarikat.

Bahkan, lebih daripada itu, dia adalah liabiliti kepada sebarang percubaan untuk meyakinkan rakyat agar insiden demikian tidak akan berlaku lagi selepas ini.

Perintah darurat ketika waktu sukar begini memberikan peluang kepada Muhyiddin untuk membetulkan kesilapannya kerana melantik lelaki seperti ini tanpa sebarang gangguan.

Tajuddin adalah orang yang berada dalam kalangan ahli Parlimen Umno yang menyokong Najib Razak, bekas perdana menteri yang sering membuat bising menyerang Muhyiddin.

Namun, dia masih belum lagi dipecat.

Jadi, sekaranglah masanya untuk singkirkan Tajuddin Abdul Rahman kerana alasannya sudah tepat, demi menunjukkan simpati kepada para penumpang dan juga kepada jutaan lagi rakyat Malaysia bahawa kerajaan memang benar-benar Prihatin.

Abdar Rahman Koya merupakan CEO & editor MalaysiaNow.