- Iklan -
Berita

Tajuddin dipecat dari Prasarana selepas ‘berseloroh’ berhubung kemalangan LRT

Tajuddin yang juga ahli Parlimen Pasir Salak dikecam pengguna media sosial kerana berseloroh berhubung kemalangan LRT.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman.
Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman.

Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman dipecat sebagai pengerusi bukan eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selepas berseloroh pada sidang media berhubung kemalangan dua tren transit aliran ringan (LRT) baru-baru ini.

Menurut surat ditandatangani Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, perkhidmatan Tajuddin bersama Prasarana ditamatkan berkuatkuasa secara serta merta.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas dan sumbangan yang diberikan kepada Prasarana,” tulis Zafrul dalam satu surat kepada ahli Parlimen Pasir Salak itu yang dilihat MalaysiaNow.

Zafrul bagaimanapun tidak menyatakan sebab mengapa perkhidmatan Tajuddin ditamatkan.

Pada Isnin lalu, dua tren LRT bertembung dan mengakibatkan 64 orang dikejarkan ke hospital di mana enam daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong terus turun ke tempat kejadian selepas kemalangan itu.

Bagaimanapun, Tajuddin yang juga pengerusi Prasarana yang bertanggungjawab terhadap LRT hanya dilihat berada di lokasi kejadian pada keesokan harinya.

Semasa mengadakan sidang media, ketika ditanya mengenai ketidakhadirannya, Tajuddin berkata tindakannya datang ke lokasi kejadian pada awal pagi berikutnya menunjukkan kesungguhannya berhubung kemalangan itu.

Tajuddin menjelaskan tidak dapat datang ke lokasi kejadian pada malam itu kerana baru sahaja selesai bermesyuarat dan sedang bersiap sedia untuk mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19.

“Normal… hanya dua tren bersama, saling bercium,” katanya dengan ketawa kecil ketika ditanya pemberita mengenai keadaan dalam terowong bawah tanah itu.

Kenyataan Tajuddin itu menimbulkan kemarahan pengguna media sosial yang menganggap pemimpin Umno itu mepermain-mainkan perasaan mangsa kemalangan LRT itu.

Beberapa petisyen turut dilancarkan pengguna media sosial menuntut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memecat Tajuddin.