- Iklan -
Berita

Siti Nurhaliza, menteri agama antara dikompaun langgar PKPB

Kompaun yang dikenakan terhadap mereka diumumkan Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed hari ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penyanyi popular Siti Nurhaliza. Gambar: Facebook
Penyanyi popular Siti Nurhaliza. Gambar: Facebook

Penyanyi Siti Nurhaliza dan suami, Khalid Mohamad Jiwa masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ketika majlis meraikan kelahiran anak kedua mereka, awal Mei lalu.

Selain mereka berdua, beberapa orang kenamaan dan pendakwah lain yang menyertai majlis pasangan selebriti itu termasuk Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Azhar Idrus, dan Don Daniyal turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang, kata Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed hari ini.

3 Mei lalu, polis Ampang mengumumkan siasatan sedang dijalankan berhubung majlis tahnik dianjurkan Siti Nurhaliza yang dikatakan tidak mematuhi SOP.

“Kita mengesan laporan disiarkan sebuah portal berita berhubung rasa tidak puas hati netizen berkaitan majlis tahnik dianjurkan seorang selebriti tanah air di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Ampang,” kata Ketua Polis Ampang Mohamad Farouk Eshak.

Ketika siasatan dimulakan terhadapnya, Siti telah menjelaskan beliau telah mematuhi garis panduan di bawah PKP bersyarat (PKPB).

Menurutnya, majlis tersebut dibahagi kepada tiga sesi bagi membolehkan penjarakan sosial dapat dilaksanakan.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin,” kata Siti dalam sebuah kenyataan 3 Mei lalu melalui Facebook.

Siti adalah tokoh kenamaan terbaru yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP kesihatan.

Pada 27 April lalu, pengacara televisyen Noor Neelofa Mohd Noor dan 20 ahli keluarganya dikompaun sebanyak RM60,000 secara keseluruhan kerana melanggar SOP ketika majlis perkahwinannya dengan Muhammad Haris Ismail.

Mereka berdua dikenakan kompaun sebanyak RM 30,000 secara keseluruhan.

Bekas perdana menteri Najib Razak turut dikenakan kompaun kerana gagal mendaftar masuk dengan aplikasi MySejahtera ketika mengunjungi sebuah restoran nasi ayam di Kuala Lumpur Mac lalu.

Terdahulu terdapat beberapa gambar yang tular di media sosial menunjukkan kehadiran beberapa orang kenamaan dan penceramah agama terkenal ke majlis itu.

Beberapa laporan juga mendakwa VVIP dan penceramah jemputan hadir ke majlis tersebut tanpa kelulusan dari pihak polis untuk merentas negeri atas alasan mereka tinggal di luar Selangor.

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.