- Iklan -
Berita

Pengasas SELangkah dakwa tempahan AstraZeneca dapat kebenaran

Dr Helmi Zakariah berkata pendaftaran oleh SELangkah dilakukan untuk membantu 'rakyat yang tidak celik digital' mendaftar tempahan vaksinasi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Individu di sebalik aplikasi penjejakan kontak SELangkah milik kerajaan Selangor mendakwa meraka yang mendapat tempahan slot vaksinasi AstraZeneca sudah memberikan kebenaran kepada pihaknya berbuat demikian, dalam satu respons terhadap penemuan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF).

Dr Helmi Zakariah yang bertanggungjawab membangunkan aplikasi SELangkah berkata, dakwaan CITF itu “tidak tepat”.

Dia berkata pendaftaran itu dilakukan untuk membantu “rakyat yang tidak celik digital” yang bergantung kepada SELangkah untuk menempah janji temu vaksinasi Covid-19.

“Mereka ialah kelompok dalam Imunisel, yang memberikan kebenaran untuk pelbagai vaksinasi,” katanya, merujuk kepada kempen Selangor untuk mempromosikan kadar pendaftaran vaksin di negeri itu kepada mereka yang tidak celik digital.

“Nama-nama tersebut diminta oleh CITF kepada kami. Kami menghantarnya berserta penafian,” tambahnya.

CITF sebelum ini mendedah bahawa SELangkah, aplikasi penjejakan kontak yang dipromosikan oleh kerajaan negeri Selangor adalah antara pihak yang telah membuat banyak tempahan untuk vaksin AstraZeneca awal minggu ini.

Ia juga menyatakan bahawa SELangkah mengaku membuat tempahan tanpa kebenaran.

Khairy Jamaluddin, menteri yang bertanggungjawab untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan semalam menyatakan bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan pendaftaran besar-besaran dilakukan semasa membuat tempahan untuk vaksin AstraZeneca.

Ia susulan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa mereka telah menerima pemberitahuan janji temu walaupun tidak mendaftar, sementara yang lain mengatakan bahawa mereka tidak berjaya menempah slot.

Dalam pada itu, CEO SELangkah Tengku Iesta Tengku Alaudin menafikan wujudnya sebarang penglibatan SELangkah dalam tempahan slot vaksin AstraZeneca.

Dalam sebuah kenyataan beliau menafikan pihak CITF menghubungi pihak SELangkah berkenaan perkara tersebut.

“SELangkah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan dakwaan yang tidak mempunyai asas sama sekali.

“Pihak SELangkah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan dakwaan palsu yang bertujuan mencemar reputasi kami,” katanya.