- Iklan -
Berita

Pembangkang PH sokong ‘total lockdown’

PH menyarankan tujuh cadangan untuk dilaksanakan kerajaan antaranya memberi bantuan sekali bayar (one off) kepada golongan B40 dan M40, selain moratorium pinjaman bank selama tiga bulan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pakatan Harapan (PH) terdiri dari tiga parti DAP, PKR dan Amanah.
Pakatan Harapan (PH) terdiri dari tiga parti DAP, PKR dan Amanah.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) menyokong keputusan kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau “total lockdown” sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini.

Jawatankuasa itu dalam kenyataan menyarankan tujuh cadangan untuk dilaksanakan kerajaan antaranya memberi bantuan sekali bayar (one off) kepada golongan B40 dan M40, selain melaksanakan moratorium pinjaman bank selama tiga bulan.

“Kami juga mencadangkan kerajaan melaksanakan rebat bagi bil elektrik Tenaga Nasional Berhad, memastikan bekalan barangan keperluan harian serta harga tidak naik.

“…memastikan penghantaran barang keperluan ke destinasi tidak terhalang dan memastikan bantuan berupa bakul makanan sampai kepada rakyat yang memerlukan,” demikian menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa itu dianggotai Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang); Hassanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat); Chong Chieng Jen (DAP-Stampin); Natrah Ismail (PKR-Sekijang); V Sivakumar (DAP-Batu Gajah); Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu); dan Cha Kee Chin (DAP-Rasah).

Semalam, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bermula Selasa ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.