Kelantan memutuskan supaya semua kontak rapat serumah dengan kes positif Covid-19, akan dipakaikan gelang kuarantin selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan dengan pesakit, tanpa perlu menunggu pengambilan sampel Covid-19.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Zaini Hussin berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan, semalam.
“Pemakaian gelang ini akan dilakukan segera tanpa menunggu pengambilan sampel Covid-19, selaras dengan Seksyen 15(A) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021).
“Ini bertujuan untuk menyekat segera pergerakan individu setelah mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat kes sah (positif),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ini merupakan strategi dalam melandaikan keluk pandemik Covid-19 di Kelantan, ekoran peningkatan kes yang mendadak sejak kebelakangan ini.
“Rakyat Kelantan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, dan memantau status kesihatan diri.
“Sila dapatkan rawatan segera sekiranya bergejala. Terus berada di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar,” tambahnya.