- Iklan -
Berita

Mufti Perak meninggal dunia akibat Covid-19 di usia 82 tahun

Allahyarham dan isteri dilaporkan dijangkiti Covid-19 minggu lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Mufti Perak Harussani Zakaria meninggal dunia di usia 82 tahun. Gambar: Facebook
Mufti Perak Harussani Zakaria meninggal dunia di usia 82 tahun. Gambar: Facebook

Mufti Perak Harussani Zakaria yang sebelum ini dimasukkan ke hospital setelah disahkan positif Covid-19, meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu entri di Facebook yang memaklumkan Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira 3 petang tadi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Dukacita dimaklumkan Mufti Perak Harussani Zakaria baru sahaja meninggal dunia,” menurut entri tersebut.

Timbalan Mufti Zamri Hashim dalam pesanan WhatsApp kepada media turut mengesahkan perkara berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan, Harussani, 82, dan isterinya, Puan Seri Ainon Abdul Ghani, sedang mendapatkan rawatan di HRPB, sebelum sambutan Aidilfitri berikutan jangkitan Covid-19.

Namun, isteri Allahyaham telah beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital pada 21 Mei lepas.

Jenazah Allahyarham kini masih berada di hospital dan difahamkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Melayu Sg Rapat.

Allahyarham dilahirkan di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar dan meninggalkan isteri serta empat orang anak.

Allahyarham dilantik menjadi Mufti Perak sejak 1985 dan pernah mendapat anugerah Tokoh Maal Hijrah 2008 selain Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Islam yang membawa gelaran Doktor pada 2010.