- Iklan -
Berita

Raikan Gawai dengan berhati-hati, patuhi SOP, kata KM Sarawak

Walaupun bersama ahli keluarga, SOP mesti dipatuhi sebagai usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Abang Johari Openg menyeru rakyat Sarawak agar merayakan Hari Gawai secara berhati-hati dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun semasa bersama ahli keluarga terdekat sebagai usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam negara.

Beliau berkata ini merupakan tahun kedua Hari Gawai terpaksa diraikan dalam keadaan yang amat terhad disebabkan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia, dan menyedihkan kerana ramai yang tidak dapat merayakannya bersama keluarga dan sahabat handai di kampung atau rumah panjang.

“Saya mohon ampun dan maaf kepada saudara dan saudari yang tidak dapat kembali ke kampung halaman dan rumah panjang masing-masing, atau ‘pulai ke menua’, kerana larangan rentas negeri atau rentas zon yang dikenakan demi keselamatan kita semua daripada bahaya Covid-19,” katanya dalam perutusan Hari Gawai 2021.

Abang Johari berkata sebagai langkah tambahan untuk menangani Covid-19 bersempena Hari Gawai, beliau telah mengarahkan setiausaha kerajaan negeri untuk tidak mengeluarkan lesen laga ayam yang menjadi acara tradisi setiap kali perayaan itu untuk mengurangkan ruang bagi jangkitan terus menular pada sambutan kali ini.

“Langkah seperti ini mungkin tidak popular tetapi hendaklah dikenakan supaya rakyat kita lebih selamat. Sebelum ini, arahan supaya ziarah hari raya untuk satu hari sahaja juga keputusan yang tidak popular dalam kalangan masyarakat Islam, namun perlu dilaksanakan supaya keadaan dapat dikawal,” katanya.

Abang Johari turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan melakukan segala yang terdaya bagi menangani pandemik Covid-19, dan setakat Mei, Sarawak telah membelanjakan sejumlah RM242 juta melibatkan perbelanjaan kuarantin, bekalan makanan, logistik, peralatan dan sebagainya.

“Kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) telah melakukan yang terbaik untuk rakyatnya ketika negeri dan negara dilanda pandemik Covid-19. Berani saya menyatakan bahawa tiada negeri yang memperuntukkan bantuan khas sebanyak yang telah diperuntukkan di bawah BKSS (Bantuan Khas Sarawakku Sayang) 1.0 hingga 5.0 berjumlah RM2.6 bilion,” katanya.

Di samping itu, Abang Johari juga mengajak masyarakat Dayak supaya berusaha ke arah perpaduan kaum seiring dengan masyarakat lain dalam mengejar impian untuk menjadi sebuah masyarakat yang maju dan progresif.

“Pemimpin-pemimpin Dayak terdahulu telah berjuang untuk menjadikan Gawai Dayak sebagai platform penyatuan dan identiti kaum Dayak. Oleh itu, saya berharap masyarakat Dayak akan terus merapatkan barisan, terutamanya golongan muda berusaha ke arah perpaduan selari dengan impian pemimpin terdahulu,” tambahnya.