- Iklan -
Berita

Aktivis PKR tidak mengaku bersalah hina Agong

Hakim membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang membuat apa-apa ulasan berbentuk hasutan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Aktivis PKR Iswardy Morni didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Gambar: Facebook
Aktivis PKR Iswardy Morni didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Gambar: Facebook

Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan di laman sosial Facebook miliknya yang berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Iswardy, 44, didakwa mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, pada 3 petang, 29 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya Yusaini Amer Abdul Karim menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin namun peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud, yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya penanggung utama keluarga selain memberi kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang siasatan.

Hakim Mahyon Talib kemudiannya membenarkan Iswardy diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang membuat apa-apa ulasan berbentuk hasutan, menyakitkan hati dan boleh menimbulkan kegusaran awam di media sosial, cetak dan elektronik.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 2 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Bernama melaporkan tertuduh direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya di laman YouTube yang didakwa berbaur hasutan serta menghina Yang di-Pertuan Agong.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.