- Iklan -
Berita

Tiada pesta muzik, Gawai dirai dengan tarian sendirian di musim pandemik

Ketua kampung Maria Assim mengenang kemeriahan dan keceriaan perayaan sebelum pandemik, namun tahun ini keselamatan menjadi keutamaan.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Kuih jala disediakan bagi persiapan perayaan Gawai.
Kuih jala disediakan bagi persiapan perayaan Gawai.

Pada tahun-tahun sebelum pandemik, Maria Assim akan sibuk memantau persiapan bagi menyambut perayaan Gawai Dayak, daripada menyiapkan hidangan-hidangan tradisional hinggalah memantau aktiviti-aktiviti di kampung halamannya di Kampung Tabuan Dayak di ibu kota Kuching.

Sebagai ketua kampung, tanggungjawab yang dipikulnya berganda namun akan selalu meluangkan masa untuk menumpukan perhatian kepada persiapan keluarganya juga, termasuk penyediaan kuih jala yang merupakan pencuci mulut tradisional, dan pembuatan tuak beras.

Itulah antara kebiasaan tugas-tugas yang menjadi tanggungjawabnya setiap tahun.

Namun kini, disebabkan Covid-19 yang menular sejak tahun lalu, sudah dua tahun Maria tidak dapat menghasilkan tuaknya, minuman yang dihasilkan dari beras pulut dicampur dengan ragi buatan sendiri.

Ia adalah antara hidangan utama dalam perayaan Gawai.

“Orang-orang tua kata aura Gawai mesti kena ada bau kuih dan tuak.

“Tetapi tahun ini saya tidak membuat tuak kerana kita masih ada tuak yang disimpan dari tahun sebelum ini kerana orang ramai tidak dibenarkan berkunjung sesama keluarga, seperti tahun ini,” katanya.

Kuih jala yang siap dimasak menjadi hidangan utama bersama tuak.

Tuak juga merupakan bahagian penting dalam keluarganya ketika upacara miring, ritual di mana mereka perlu membawa tuak bersama makanan dan minuman lain bagi dikongsi dengan orang lain dan kemudian diletakkan di tiang peringatan sebagai persembahan kepada nenek moyang dan dewa sembahan.

Semua itu adalah perayaan yang boleh kita saksikan pada awal 1980-an.

Bagaimanapun, hari ini, perayaan sedikit berbeza kerana keluarganya dan ramai lagi yang lain memeluk agama Kristian.

“Dulu ia merupakan acara yang sangat agung, tetapi perlahan-lahan ketika orang Iban di mulai memeluk agama Kristian, kami tidak lagi berkumpul di tiang peringatan pada malam Gawai,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada masa itu, katanya, miring akan disambut dengan parang, ayam dan babi.

Haiwan-haiwan itu akan disembelih kemudian dimasak secara gotong royong oleh penduduk kampung bagi sajian makan malam di ruai atau beranda komuniti rumah panjang.

Namun kini, walaupun perayaan Gawai dimulakan dengan bacaan doa Kristian. Terdapat juga pesta di mana penduduk kampung akan berbaris di ruai, menari mengikut rentak gong.

Gelak ketawa pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat sambil mereka mengambil gambar dan swafoto turut menceriakan suasana.

“Ini adalah masa yang meriah di mana ahli keluarga dan rakan daripada semua kaum, termasuk orang asing, berkumpul dari jauh,” kata Maria.

Kugiran muzik juga turut membuat persembahan bagi menghiburkan orang ramai.

“Orang ramai masing-masing bergilir menyanyi, dan ruai akan penuh untuk kami sama-sama untuk menari.

“Perayaan ini juga merupakan kesempatan bagi generasi muda, terutama daripada kumpulan budaya, untuk mempersembahkan tarian tradisional kami.”

Semua acara-acara meriah itu kini bertukar suram, Covid-19 mengubah segalanya.

Dengan penularan jangkitan yang kini merebak di seluruh negeri, perayaan beramai-ramai kini tidak lagi dibenarkan.

Namun sebaliknya, kata Maria, penduduk kampung akan mempersembahkan tarian “poco-poco” sendirian di rumah mereka.

Hal ini adalah sangat jauh berbeza daripada suasana meriah dan ceria perayaan Gawai sewaktu sebelum pandemik melanda negara.

Bagaimanapun, Maria dan keluarganya masih merasakan kegembiraan perayaan kerana berpeluang untuk berkomunikasi dengan saudara-maranya sepanjang tempoh perayaan.

“Saya gembira kerana teknologi komunikasi bertambah baik,” kata wanita berusia 53 tahun itu.

“Kami akan melakukan panggilan video pada waktu pagi untuk ucapan selamat dan doa sempena Gawai.”

Sajian tadisisi lemang juga merupakan hidangan utama Gawai.

Sebelum pandemik Covid-19 katanya, kegembiraan Gawai selalu tertumpu pada kedatangan ahli keluarganya dari Miri dan Kuala Lumpur yang akan terbang pulang ke Kuching untuk perayaan tersebut.

“Pada hari Gawai, kami akan mengundang para menteri untuk turut bersama meraikan,” kenangnya.

Tetapi sekarang, suasananya jauh berbeza.

“Yang penting ialah kita merayakan Gawai ini dengan selamat dan mengikuti semua SOP sehingga kita dapat merayakan lebih banyak hari Gawai pada masa akan datang,” katanya.

Walaupun perayaan beramai-ramai tidak dibenarkan tahun ini, dia mesti terus mengawasi penduduk kampungnya seperti yang selalu dilakukan – kali ini dengan alasan yang berbeza.

Dia perlu memastikan tidak ada kunjungan ziarah di kawasan penempatan mereka.

“Akan ada polis yang akan lakukan rondaan, jadi saya beritahu jika mereka ditangkap kerana melanggar SOP, mereka bertanggungjawab atas tindakan mereka itu,” katanya.