- Iklan -
Berita

Najib mohon batal notis muflis, dakwa konspirasi politik

Najib mendakwa notis yang dikeluarkan LHDN bertarikh 4 Februari lepas adalah berniat jahat, menindas dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Bekas Perdana Menteri Najib Razak memohon untuk membatalkan notis kebankrapan terhadapnya kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi tahun lepas.

Mengikut dokumen yang difailkan di mahkamah, Najib mengemukakan permohonan itu atas alasan notis yang dikeluarkan LHDN bertarikh 4 Februari lepas adalah berniat jahat, menindas dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau juga mendakwa notis itu merupakan taktik konspirasi politik yang bertujuan untuk merosakkan karier politiknya.

Hari ini kes itu ditetapkan untuk pengurusan secara dalam talian (e-Review) di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Ida Rahayu Sharif.

Peguam Najib, Wee Yeong Kang ketika dihubungi memaklumkan pemberita bahawa permohonan itu telah difailkan pada 31 Mei lepas.

“Permohonan untuk menggantung prosiding kebankrapan itu turut difailkan pada tarikh sama (31 Mei) sementara menunggu pelupusan kes rayuan Najib di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

“Mahkamah menetapkan 22 Julai depan untuk pengurusan kes selanjutnya,” kata beliau.

Prosiding itu turut disertai peguam kanan hasil Al-Hummidallah Idrus dan peguam hasil Muhammad Nabil Abdul Halim yang bertindak bagi pihak LHDN.

Kerajaan, melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi pada 4 Februari lepas terhadap Najib selaku penghutang.

Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan 5% kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun ini untuk pendengaran.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran tersebut kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.